Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi: Khalid patut saman, bukan bawa pada SPRM
Diterbitkan:  Aug 7, 2014 2:30 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, Tan Sri Khalid Ibrahim patut mendedahkan terma penyelesaian hutangnya dengan Bank Islam yang ditimbulkan parti atau menyaman pihak berkaitan.

Rafizi berkata, tindakan membawa isu itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) hanya meningkatkan keraguan terhadapnya kerana badan itu sukar bertindak seperti dalam isu NFC sebelum ini.

“Oleh sebab itulah, saya tidak hairan beliau menghantar laporan PKR kepada SPRM kerana beliau sendiri tahu sukar untuk SPRM mengambil sebarang tindakan terhadap beliau,” katanya.

Semalam setiausaha sulit Khalid, Mohamad Yazid Bidin ( kanan ), membuat laporan kepada SPRM supaya menyiasat dakwaan “isu integritinya” seperti didakwa PKR.

Difahamkan, ia bertujuan untuk membersihkan nama Khalid daripada dakwaan salahlaku tersebut.

Kelmarin, PKR mengeluarkan dokumen 91 halaman kepada PAS dengan salinan kepada DAP, yang membongkar "keraguan munasabah" terhadap Khalid, terutamanya dalam itu penyelesaian hutang itu.

Pemimpin kanan PAS dan Majlis Syura – badan tertinggi dalam parti Islam itu – sekarang berpendirian Khalid patut dikekalkan, berbeza dengan pandangan PKR dan DAP.

'Enggan bersumpah di mahkamah?'

Dalam kenyataannya hari ini, Rafizi berkata, cara terbaik untuk membersihkan nama Khalid boleh dibuat dengan mendedahkan perjanjian dengan Bank Islam yang membolehkan beliau tidak perlu membayar hutang RM70 juta secara tiba-tiba.

Rafizi juga menggesa Khalid menjelaskan kenapa syarikat orang tengah dalam rundingan itu – seorang peguam yang dikaitkan dengan Umno – mendapat manfaat beratus juta ringgit daripada kerajaan negeri.

Dan perkara itu, katanya lagi, berlaku dalam tempoh sebulan selepas hutang beliau diselesaikan dengan Bank Islam dengan rundingan melalui orang tengah.

“Jika pun beliau tidak bersedia untuk mendedahkan terma-terma perjanjian dengan Bank Islam, sepatutnya beliau failkan saman fitnah terhadap saya di dalam mahkamah sebelum membuat laporan kepada SPRM,” katanya.

Rafizi mendakwa, Khalid tidak mengambil tindakan mahkamah terhadap beliau atau Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail ( atas ) kerana tidak mahu memberi keterangan bersumpah di mahkamah mengenai perjanjian rahsia itu.

“Jika beliau tidak ada apa-apa yang disembunyikan, maka beliau sewajarnya mendedahkannya atau menyaman saya di mahkamah sebelum berakhirnya hari Jumaat esok,” cabarnya lagi.

Lihat Komen
ADS