Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata, beliau berpendapat keputusan PAS hari ini menandakan mereka bersetuju presiden partinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.

Saifuddin berkata, ini kerana parti itu kini terikat dengan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 21 Julai lalu yang hanya menamakan seorang calon.

"Sekarang ini PKR terikat dengan keputusan mesyuarat pada 21 Julai, iaitu mesyuarat MPP yang menamakan Wan Azizah. Dengan satu nama yang PAS angkat, (ia) satu perkembangan baru dan belum ada konsensus Pakatan.

"Saya cuma boleh kata keputusan PAS hari ini beri konsensus bahawa PAS bersetuju (dengan nama) Wan Azizah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat ( kiri ) yang dinantikan-nantikan pagi ini, PAS mencalonkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai pengganti Khalid di samping nama sedia ada Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Parti itu juga memutuskan empat exconya di Selangor akan tetap kekal dalam kabinet Khalid buat masa ini dan mereka tidak akan menuntut jawatan menteri besar Selangor daripada PKR.

Selain itu, ketika ditanya berhubung pencalonan ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai nama baru menteri besar, Saifuddin enggan mengulas.

Bagaimanapun, beliau berharap dengan mesyuarat Pakatan Rakyat yang akan diadakan petang ini dapat memilih satu nama untuk dipersembah kepada sultan Selangor.

"Mengenai Azmin saya tak nak ulas. Yang penting kita nak dapat konsensus. Hari ini (secara) rasmi PAS setuju Wan Azizah sebagai (calon) menteri besar. Jadi kita capai bahawa Wan Azizahlah.

"Saya harap mesyuarat petang ini akan dapat capai kata sepakat untuk angkat satu nama iaitu Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor kepada Sultan," katanya lagi.

'Tarik exco dari kabinet Khalid'

Sementara itu, Saifuddin turut meminta supaya PAS menarik empat exconya daripada terus memberi sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Saifuddin, sebagai parti dalam Pakatan, PAS tidak sewajarnya memberi sokongan kepada seorang menteri besar daripada bebas.

"Sokongan tak perlu lagi diteruskan kerana Tan Sri Khalid sendiri sebut kerajaan Selangor bukan kerajaan Pakatan. PAS merupakan komponen Pakatan. PAS tak perlu beri sokongan.

"Kalau perkara dibangkitkan (dalam mesyuarat petang ini), PAS perlu beri penjelasan kenapa exco mereka beri sokongan pada menteri besar bebas.

"Prinsipnya, kalau kita berada dalam komponen Pakatan, tak boleh beri sokongan pada ADUN bebas, itu prinsipnya. Kita hanya sokong parti sesama kita," jelasnya.

Lihat Komen
ADS