Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS menerima keputusan Pakatan untuk mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sahaja sebagai calon menteri besar Selangor.
 
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata, beliau juga menghormati keputusan Timbalan Presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali yang menyokong keputusan PKR untuk menamakan Wan Azizah sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 
 
"Sebenarnya PAS mencadangkan Azmin kerana kita dapat maklum dari pihak istana kemungkinan istana tak sanggup terima Wan Azizah. Atas dasar itu kita cadangkan nama Azmin sekali. 
 
"Oleh kerana Azmin sendiri menarik diri maka kita tak boleh nak buat apalah. saya rasa ia bukan satu masalah
 
"Sebab utama kerana kita dapat maklumat dari istana. Itu sebab utama. Tapi kita tengoklah. Sebahagian ahli PAS kata cuba dulu. Kalau sultan tolak, biarlah sultan tolak. Maknanya, bukan kita (PAS) yang tolak, tapi sultan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan forum di Kuala Lumpur malam tadi. 
 
Semalam, Pakatan Rakyat akhirnya memutuskan untuk mencalonkan  Wan Azizah sahaja sebagai calon menteri besar Selangor 
 
Perkara itu baru diputuskan dalam mesyuarat majlis presiden PKR, DAP dan PAS di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor. 
 
Sementara itu, Azmin ketika ditemui media menegaskan partinya dan Pakatan lebih penting berbanding siapa yang menjadi menteri besar.
 
"Bagi saya, parti diutamakan. Saya beritahu rakan sejawat saya (dalam mesyuarat) kita mesti bekerja sedaya upaya untuk Pakatan.
 
"Saya amat percaya selepas krisis ini Pakatan dan PKR akan bertambah kuat," kata Amin (kiri).
 
Sebelum itu, dalam forum krisis Selangor yang diadakan di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur- Selangor malam tadi, Khalid turut menjelaskan perkara yang menyebabkan Pakatan menolak Khalid Ibrahim sebagai menteri besar. 
 
Forum selama dua jam setengah yang turut dihadiri oleh AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat dan pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari antara lainnya turut membincangkan tentang sebab utama PAS masih meletakkan empat orang exconya di dalam kerajaan negeri Selangor. 
 

Lihat Komen
ADS