MB tiada kuasa unilateral tamatkan jawatan Yamtuan Besar - Ismail
Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir,
Ismail berkata kedudukan dan proses berkaitan Yang di-Pertuan Besar adalah perkara yang diperuntukkan secara khusus oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, dan bukan sesuatu yang boleh ditentukan sendiri oleh Menteri Besar.
Katanya, MMK menegaskan isu Surat Cara Proklamasi yang didakwa memberi kesan terhadap kedudukan Tuanku Muhriz perlu dinilai berdasarkan UUTKNS dan prinsip Raja Berperlembagaan, bukan sebagai pertikaian politik atau peribadi.
"Sesuatu Proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan," katanya dalam kenyataan media selepas mesyuarat MKK hari ini.
Terdahulu, kenyataan itu dikeluarkan bagi pihak MMK Negeri Sembilan susulan pelbagai pandangan yang dikemukakan berhubung dakwaan Ismail menandatangani Surat Cara Proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos lalu.
Kenyataan itu turut merujuk Perkara 10 UUTKNS 1959, yang menetapkan kerangka khusus berhubung sebarang tindakan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar, termasuk keperluan berkaitan proses dan Proklamasi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/c99eaa99ffce306a2c69b33313a5ecd4.jpg)
Ismail turut menegaskan bahawa penglibatannya dalam proses yang ditetapkan UUTKNS tidak bermakna dia mempunyai kuasa untuk menentukan sendiri kedudukan Yang di-Pertuan Besar, sebaliknya peranan itu perlu dilaksanakan dalam batas serta menurut kehendak undang-undang tubuh berkenaan.
"Isu ini bukan mengenai siapa mempunyai kuasa politik yang lebih besar.
"Dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa mesti bersumberkan Perlembagaan dan undang-undang," katanya.
Tambahanya, Institusi Diraja, Undang, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan serta fungsi tersendiri di bawah UUTKNS.
Sementara itu, MMK menggariskan tiga isu utama yang perlu diputuskan berhubung kesahan Proklamasi tersebut iaitu sumber kuasa perlembagaannya, syarat dan prosedur di bawah UUTKNS 1959, serta sama ada semua syarat itu dipatuhi sehingga Proklamasi mempunyai kesan undang-undang seperti didakwa.
"Persoalan sebesar ini hendaklah diselesaikan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya timbul pertikaian undang-undang," ujarnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/2fad8db89eebcb4956856fc91429ec39.jpg)
Ismail turut menegaskan penghormatan penuh terhadap Institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan UUTKNS, sambil berkata apa yang perlu dipertahankan bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran Perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan.
"Undang-Undang Tubuh mesti menjadi asas. Proses perlembagaan mesti dihormati. Institusi mesti dipelihara," katanya.
Isu ini tercetus selepas Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato' Shahbandar Sungai Ujong mendakwa Ismail menandatangani dan melengkapkan surat cara proklamasi berkenaan di bawah Perkara 10(2) UUTKNS 1959 di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu, di hadapan Raja Pemerintah Negeri Sembilan, Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar.
Ismail mendakwa dia telah dipaksa menandatangani dokumen berkenaan dan telah membuat laporan polis mengenai perkara itu.
Bagaimanapun peguam yang mewakili Undang Yang Empat mendakwa tiada paksaan dibuat terhadap Ismail sebelum dia menandatangani dokumen berkenaan, dan dia telah diberi penjelasan mengenai alasan pemecatan Tuanku Muhriz sebelum berbuat demikian.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/263680fd729102cfadbc18d1b5c3eecb.jpg)
