Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN Pengkalan Kubor meninggal dunia
Diterbitkan:  Aug 20, 2014 8:53 AM
Dikemaskini: 5:55 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, hari ini.

    

Timbalan Ketua Umno bahagian Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata Noor Zahidi, 57, meninggal dunia pada pukul 5.45 pagi waktu Malaysia.

    

Allahyarham yang disahkan menghidap kanser hati pada Mei lepas, mendapatkan rawatan di Guangzhou kira-kira dua minggu lalu, katanya ketika dihubungi hari ini.

    

Mohd Rosdi berkata antara yang turut berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir ialah isterinya Datin Siti Mona Abdul Kadir.

    

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan 12 orang anak.

    

Beliau berkata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar sedang berusaha untuk mempercepatkan proses membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat.

    

Noor Zahidi menjadi ADUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan ketua Umno bahagian Tumpat selama empat penggal.

Noor Zahidi memenangi kerusi itu pada 2008 dan mengekalkannya dalam pilihan raya umum 2013, dengan majoriti lebih 1,700 undi.

Noor Zahidi memperolehi 10,174 undi manakala calon PKR, Saharun Ibrahim mendapat 8,438 undi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary mendapat 65 undi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor terletak dalam kawasan Parlimen Tumpat.

Berikutan itu, pilihan raya kecil bagi DUN tersebut akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ia merupakan pilihan raya kecil yang ketujuh selepas pilihan raya umum pada Mei tahun lepas.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Noor Zahidi.

"Takziah kepada keluarga Datuk Noor Zahidi Omar, Adun Pengkalan Kubor yang pulang ke rahmatullah pagi tadi. Semoga roh beliau dicucuri rahmat. al-Fatihah," Najib berkata menerusi twit terbaru di laman Twitter hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS