Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyeru pada anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) agar terus mempertahankan Pakatan Rakyat dari sebarang provokasi dan usaha untuk menggugat perpaduan gabungan parti itu.

MP Gombak itu meminta anggota AMK mencontohi pakar strategi Zhuge Liang dalam sejarah purba tamadun Cina untuk membina semula Dinasti Han.

"Mengambil ilham dari strategi Zhuge Liang, PKR hanya boleh menewaskan BN dan menegakkan Kerajaan Rakyat melalui muafakat bersama PAS dan DAP.

"Apa cara sekalipun, apa jua daya kita, Pakatan Rakyat perlu dipertahankan. Kita tidak membenarkan sesiapapun untuk melakukan provokasi dan cuba menggugat perpaduan Pakatan Rakyat.

"Kita bersama-sama membidankan kelahiran Pakatan Rakyat pasca (pilihan raya umum ke-12) pada 2008. Sememangnya, tahaluf siyasi ini berdepan dengan pelbagai cabaran," katanya.

Dalam ucapannya juga, Azmin berkata walaupun Pakatan hanya dibentuk pada 2008, kerjasama politik dalam gabungan itu tetap utuh kerana pembentukannya tidak dibuat atas keadaan "terburu-buru".

Kekuatan Pakatan Rakyat

Katanya lagi, permuafakatan Pakatan diikat dengan pelbagai dasar dan prinsip antaranya mempertahankan prinsip keadilan sosial dan kesaksamaan serta komitmen dalam membentuk kerajaan yang berteraskan tata kelola.

Pakatan juga sama-sama menentang keras amalan dan budaya rasuah serta kapitalisme kroni.

"Iltizam politik menerusi tahaluf siyasi ini menuntut AMK meneruskan kerjasama dengan Pemuda PAS dan DAPSY ke arah memperkukuhkan muafakat ini yang dibina atas kerangka perjuangan yang jelas.

"Keutamaan hari ini mestilah ditumpukan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Di samping itu, MP Gombak itu turut menyeru anggota AMK mencontohi pemimpin China Deng Xiaoping yang meletakkan asas kemunculan China sebagai kuasa besar ekonomi.

"Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mestilah melaksanakan kebijakan yang digarap bersama oleh komponen Pakatan Rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS