Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perwakilan dari Perak Laksamana (B) Imran Abdul Hamid hari ini mempertikaikan penggunaan anggoita tentera untuk istiadat penghormatan jenazah mangsa pesawat MH17.

Katanya, tentera yang gugur mempertahankan negara dalam insiden pencerobohan Lahad Datu tidak pula diberikan penghormatan yang sebegitu gah.

Imran yang juga MP Lumut juga berkata, pihak tentera digunakan secara "berlebih-lebih" dalam upacara perkabungan seluruh negara semalam.

"Apabila kita lihat, kematian sepuluh perwira kita disambut secara ala kadar berbanding dengan (sambutan) kematian MH17 yang diatur begitu rapi.

"Yang jadi mangsa (adalah) warga tentera (yang diperlakukan) macam hamba abdi untuk menguruskannya.

"Bukan kita tak puas hati tetapi kita tengok terlebih-lebih untuk meraikan mangsa MH17.

"Bukan kita tak bersimpati tetapi mengapa sampai begitu sekali.

"Sedangkan, pejuang kita mati di Lubnan dan Lahad Datu pun tidak ada sambutan yang sebegitu," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden PKR hari ini di kongres parti itu hari ini.

'Beri penjelasan'

Beliau juga mendesak kerajaan menjelaskan rasional di sebalik penggunaan tentera dalam sambutan itu.

"Inilah yang kita minta kerajaan bagi penjelasan," katanya

Semalam, seluruh negara bertafakur selama seminit tepat pada jam 10.54 pagi bagi memberi penghormatan kepada 20 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat itu.

Dinamakan Hari Perkabungan Negara, jenazah yang tiba di Kuala Lumpur dengan sebuah pesawat khas dari Belanda, diberikan penghormatan menurut istiadat ketenteraan.

Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong juga berkenan mencemar protokol dengan memberi tunduk hormat kepada jenazah yang melintas di hadapan mereka.

Pesawat angkatan tentera C130 juga diguna untuk menerbangkan dua jenazah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan tiga lagi ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh.

Selain itu, helikopter EC725 digunakan untuk menerbangkan jenazah dua lagi mangsa ke Pagoh dan Segamat, Johor.  

Lihat Komen
ADS