Berlepas tanpa bagasi dari KL, tiba di Laos dengan 23 beg berisi 521kg dadah
Ketika seorang warga Filipina menaiki jet peribadi Learjet 55B di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada 1 Oktober lalu, dia tidak membawa sebarang bagasi.
Dia menaiki jet itu kira-kira jam 11.30 pagi dan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang di Laos. Pesawat itu tiba kira-kira jam 1.30 petang.
Di situlah rancangan membawa bagasi sepatutnya bermula.
Krew pesawat diberitahu penumpang itu mahu mengambil bagasi berisi produk vape untuk dibawa dalam penerbangan seterusnya ke Manila. Dia juga dikatakan akan menguruskan sendiri urusan kastam.
Namun, krew tidak tahu bahawa penumpang itu bukan sekadar mahu mengambil “satu atau dua beg”.
Ketua Pegawai Eksekutif CGT Asia Limited, Darren Chan Chee Seng, berkata krew tidak dimaklumkan bahawa penumpang itu akan mengambil 23 beg, jauh lebih banyak daripada yang dijangkakan.
CGT Asia Limited yang berpangkalan di Singapura ialah syarikat yang mengendalikan penerbangan berkenaan.
/file/attachments/orphans/833653720_1637627131046199_8231528450288828952_n_114466.jpg)
Chan berkata bagasi itu tidak pernah dimuatkan ke dalam pesawat dan krew operasi tidak terbabit dalam urusan kastam.
Bagaimanapun, selepas mengetahui mengenai bagasi berkenaan, krew membangkitkan beberapa kebimbangan berkaitan operasi dan keselamatan.
Antaranya ialah jumlah bagasi yang terlalu banyak, kapasiti ruang bagasi Learjet 55B, berat dan keseimbangan pesawat serta kemungkinan terdapat bateri litium atau barangan lain yang tertakluk kepada peraturan pengangkutan barangan berbahaya.
“Bagasi itu tidak diterima untuk dibawa dan tidak dimuatkan ke dalam pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang,” kata Chan (gambar bawah).
/file/attachments/orphans/123321231123123_698493.png)
Tanpa pengetahuan mereka, pihak berkuasa Laos sudah memantau keadaan itu dari dekat.
Memetik akhbar berkaitan kerajaan, Lao Security Newspaper, Vientiane Times melaporkan pada 6 Oktober bahawa polis wilayah menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan itu dan menghantar anggota khas untuk memantaunya.
Polis kemudian melihat kakitangan lapangan terbang membawa 23 beg pakaian dari dua kenderaan yang diletakkan di terminal lapangan terbang untuk melalui mesin imbasan sinar-X.
Bagaimanapun, laporan itu bercanggah dengan kenyataan Chan kerana mendakwa bagasi berkenaan telah dimuatkan ke dalam pesawat.
Polis kemudian bertindak dan mendapati 21 daripada 23 beg itu mengandungi 500 bungkusan methamphetamine kristal, dengan jumlah keseluruhan 521kg.
Dua beg lagi mengandungi barangan peribadi dengan berat keseluruhan 180kg.
“Pihak berkuasa Laos yang berkaitan kemudiannya memeriksa dan/atau mengambil alih bagasi itu serta memaklumkan bahawa ia disyaki mengandungi sejumlah besar dadah terlarang atau bahan terkawal,” kata Chan.
Penemuan itu mengubah apa yang pada awalnya kelihatan seperti masalah bagasi kepada siasatan kes penyeludupan dadah.
Chan berkata sebelum menerima maklumat daripada pihak berkuasa Laos, CGT Asia dan krew pesawat tidak mengetahui bahawa bagasi itu didakwa mengandungi dadah terlarang atau bahan terkawal.
“Selepas pihak berkuasa Laos campur tangan, penumpang dan beberapa anggota krew ditahan dan/atau dikehendaki terus berada di sana bagi membantu pihak berkuasa dalam siasatan,” katanya.
/file/attachments/orphans/jet2_459900.png)
Pesawat itu pada asalnya dijadualkan kembali ke Subang selepas meneruskan penerbangan ke Manila.
CGT Asia berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa serta memberikan dokumen atau penjelasan yang diperlukan.
Pada Selasa, Malaysiakini melaporkan polis Laos merampas jet peribadi itu dan menahan 13 individu, termasuk seorang rakyat Malaysia, selepas menemui 521kg methamphetamine kristal.
Polis Malaysia kini memburu individu yang didakwa membayar AS$49,500 (RM202,250) untuk menyewa jet peribadi itu bagi membawa muatan dadah berkenaan dari Laos ke Filipina.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/66c756552693cc0c2f68c05fa7387563.jpg)
Empat individu pula ditahan di Lapangan Terbang Subang ketika siasatan kes berkenaan diperluaskan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata penyiasat sedang berusaha mengenal pasti individu yang menyewa pesawat itu.
Beliau dijangka mengadakan sidang media mengenai kes berkenaan esok pagi.
/file/attachments/orphans/833780259_4724541361094021_8978085125395698854_n_142428.jpg)
