Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim memilih untuk menyelesaikan isu pelantikan ketua kampung ataupun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berbanding menyelesaikan krisis exco.

Ismail menegaskan urusan pentadbiran kerajaan kini masih berjalan lancar meskipun tidak dibantu 10 exco yang telah dibatalkan pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Besar.

Ismail Lasim, Menteri Besar Negeri Sembilan

"JPKK ini, sebagaimana kita sedia maklum, mempunyai peranan yang penting untuk rakyat di peringkat bawahan kerana rakyat memerlukan macam-macam bantuan daripada JPKK," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Ditanya mengenai isu pelantikan exco, Ismail berkata dia akan menyelesaikan isu berkenaan selepas ini.

"Hari ini dalam pelantikan ketua kampung semua ok, tak ada terganggu. Ok sahaja.

"Jadi, untuk exco biarlah dulu. Sebab sekarang ini kita selesaikan satu-satu lah, one at a time orang kata," jelasnya ketika dibangkitkan mengenai pelantikan exco.

Semalam, 10 bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (exco) memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar keabsahan pewartaan pembatalan pelantikan mereka.

Dalam kenyataan media hari ini, firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak berkata saman pemula itu memohon deklarasi mahkamah sama ada pewartaan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim, sah dan berkuat kuasa.

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar of Negeri Sembilan

Menurut pemohon, pembatalan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dibuat tanpa nasihat Menteri Besar Ismail Lasim.

“Nasihat Menteri Besar diperlukan di bawah Perkara XXXVIII(5), dibaca bersama Perkara XL(1), XL(1A) dan XL(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya.

Saman itu difailkan pada 5 Okt dan menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan serta Kerajaan Negeri Sembilan masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Sementara itu, ditanya mengenai sidang Dewan Undang Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung Oktober ini, Ismail berkata ia ditangguhkan sehingga pada akhir November.

Menjawab soalan wartawan, Ismail berkata sidang DUN berkenaan akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun dia tidak menyebut nama Tuanku Muhriz, sebaliknya hanya menegaskan bahawa akan dirasmikan oleh Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

"Jadi kita beri masa sikit dan kita akan adakan sidang DUN pada akhir November dan juga Disember.

"Pembukaan secara lazimnya oleh Yang di-Pertuan Besar," katanya.

Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar

Pada 16 September lalu, kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar adalah sah, menurut barisan Exco.

Sehubungan itu barisan exco menggesa supaya Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru berkuat kuasa serta-merta.