Agong nasihat tutup sekolah di kawasan terjejas jerebu
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini bertitah agar keselamatan dan kesihatan murid diutamakan dalam menghadapi situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.
Seri Paduka Baginda juga menasihatkan penutupan sekolah di kawasan terjejas, terutamanya yang mencatatkan tahap Indeks Pencemar Udara (IPU) antara 150 dan 180 secara berpanjangan.
"Kementerian Pendidikan (KPM) mesti memberi perhatian serius terhadap perkara berkenaan (jerebu), langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori," titah Seri Paduka Baginda menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Sultan Ibrahim pada masa sama menasihati orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan sebarang aktiviti luar susulan keadaan jerebu.
Semalam, Johor mengumumkan penutupan sekolah selama dua hari atas titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri terbabit.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 38 kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi tadi.
Ia antaranya melibatkan kawasan Segamat, Johor yang mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 187, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (183), selain beberapa kawasan di Selangor antaranya Johan Setia (178), Shah Alam (170), Banting (167), Klang (166), Petaling Jaya (165) dan Kuala Selangor (155).
- Bernama
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.