ANALISIS | Tahun demi tahun, sijil Ketua Audit Negara mengenai akaun Tabung Haji menyertakan satu peringatan penting tentang skop auditnya — “Bukan semua syarikat di bawah dana jemaah haji itu diaudit oleh Ketua Audit Negara.”

Tabung Haji berada di puncak rangkaian besar syarikat yang merangkumi perladangan, hartanah, hotel, pembinaan, perniagaan maritim dan pelaburan di luar negara.

Akaun syarikat-syarikat itu menjadi sebahagian daripada penyata kewangan kumpulan. Namun, audit terhadap kumpulan itu tidak semestinya bermakna Ketua Audit Negara memeriksa setiap syarikat di bawahnya.

Perbezaan itu menjadi penting beberapa tahun kemudian.

Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai operasi Tabung Haji dari 2014 hingga 2020 mengenal pasti masalah berkaitan pelaburan, perakaunan dan syarikat dalam rangkaian lebih luas dana itu. Suruhanjaya itu turut mengesyorkan audit forensik terhadap 14 pelaburan.


BACA BERKAITAN:


'Memang ada sakau dalam Tabung Haji'


Tindakan terkait isu TH perlu diteruskan, ikut undang-undang


Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) itu turut mempersoalkan beberapa aspek penelitian Ketua Audit Negara terhadap akaun Tabung Haji antara 2014 hingga 2017.

Bekas Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mempertikaikan penilaian suruhanjaya itu, termasuk kritikannya terhadap pendapat audit yang dikeluarkan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Kontroversi itu menimbulkan persoalan lebih luas: sejauh mana juruaudit awam Malaysia boleh menjejaki wang awam selepas wang itu keluar dari badan berkanun dan masuk ke syarikat di bawahnya?

Malaysia kemudian meminda undang-undang yang berkenaan.

Pada 2024, Parlimen meminda Akta Audit 1957 bagi meluaskan kuasa Ketua Audit Negara mengaudit badan lain, termasuk syarikat berdaftar yang menerima jaminan kewangan kerajaan.

Pindaan itu turut memperkenalkan pendekatan dengan nama yang amat sesuai: “Audit Menjejaki Wang Awam” (Follow The Public Money Audit).

Skop audit itu kini jauh lebih luas. Jabatan Audit Negara berkata mulai 2025, pihaknya akan menggunakan sistem eSelfAudit baharu untuk mengaudit setiap tahun 1,856 syarikat kerajaan yang diwartakan.

Namun, juruaudit yang diberi kuasa menjejaki wang hanyalah satu bahagian daripada pengawasan awam.

Bila orang ramai tak dapat jejaki aliran wang

Pengerusi global Transparency International, François Valérian berkata apabila pinjaman awam dibuat di luar penelitian belanjawan biasa, Parlimen dan rakyat sukar melihat gambaran menyeluruh.

Katanya, kerajaan bertanggungjawab mendedahkan dengan jelas perbelanjaan, hasil dan pinjaman awam, khususnya jumlah yang dipinjam dan tanggungan yang diwujudkan.

“Amat penting untuk orang ramai mengetahui berapa banyak wang yang dipinjam,” katanya.

Mengambil contoh lembaga pengarah syarikat yang memantau urus niaga besar, Valérian (gambar atas) berkata rakyat dan wakil rakyat yang dipilih perlu mendapat gambaran serupa tentang komitmen yang dibuat bagi pihak mereka.

“Kita, rakyat dan pengundi, ialah lembaga pengarah,” katanya. Dia berhujah bahawa meletakkan komitmen seperti itu di luar penelitian awam berisiko “menghakis demokrasi”.

Namun, menjejaki wang awam di Malaysia bermakna menelusurinya dalam landskap korporat yang amat rumit.

Ekosistem GLC

Pakar ekonomi politik Edmund Terence Gomez menjelaskan badan berkanun dan syarikat milik kerajaan tertakluk pada struktur undang-undang yang berbeza. Perbezaan itu, katanya, penting untuk memahami ekosistem GLC.

“Badan berkanun ditubuhkan melalui undang-undang. Setiap badan berkanun mempunyai undang-undang yang menjadi asasnya. Tetapi GLC ialah syarikat. Ia tertakluk pada kerangka undang-undang syarikat,” katanya.

Perbezaan itu penting kerana wang awam tidak semestinya berhenti pada badan berkanun atau institusi kerajaan yang mula-mula menerimanya.

Wang awam boleh mengalir melalui syarikat, anak syarikat, syarikat bersekutu dan usaha sama. Setiap lapisan menambah satu lagi entiti yang perlu dijejaki.

Untuk memahami kemunculan rangkaian luas perusahaan yang dikawal kerajaan itu, Gomez (gambar atas) merujuk kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Di bawah dasar itu, kerajaan banyak campur tangan dalam ekonomi dan menubuhkan pelbagai perusahaan awam sebagai sebahagian usaha mengagihkan semula kekayaan dan menangani kemiskinan.

Katanya, masalah timbul kemudian apabila model ekonomi beralih daripada campur tangan kerajaan kepada penswastaan.

Dia mendakwa aset awam disalurkan kepada individu yang mempunyai hubungan luas, sekali gus menyuburkan kronisme dan nepotisme.

Apabila krisis kewangan Asia 1997 melanda, kerajaan terpaksa menyelamatkan banyak syarikat yang diswastakan dan dalam beberapa kes, memiliknegarakannya semula.

“Apabila mereka menswastakannya, mereka menukar perusahaan awam menjadi syarikat yang kemudian boleh beroperasi seperti syarikat.

“Di situlah proses penyalahgunaan benar-benar bermula,” kata Gomez, penulis buku Misgovernance: Grand Corruption in Malaysia, yang diterbitkan pada 2024. Kajiannya itu meneliti bagaimana kawalan politik terhadap ekosistem GLC Malaysia yang luas boleh memudahkan penyalahgunaan kuasa, termasuk kronisme, naungan politik dan bentuk rasuah besar yang lain.

Gomez berhujah masalah itu melangkaui tadbir urus korporat kepada soal tadbir urus awam yang lebih luas, khususnya tentang pihak yang akhirnya mengawal GLC dan keputusan-keputusannya.

Dia mendakwa aktor politik boleh menggunakan sumber dalam ekosistem GLC untuk memajukan kepentingan politik, sekali gus mendorong mereka mengekalkan kawalan terhadap institusi itu dan bukannya melakukan pembaharuan.

Menurutnya, salah satu cara dengan melantik ahli politik dan anggota parti ke dalam lembaga pengarah GLC.

Jawatan itu boleh memberikan bayaran pengarah yang besar. Menurut Gomez, bayaran tersebut dalam beberapa kes digunakan untuk membiayai kegiatan politik. Dia menyifatkannya sebagai penggunaan sumber awam untuk membiayai politik.

Gomez berkata hubungan politik dan ekonomi ini bukan hanya wujud di peringkat kerajaan persekutuan.

Struktur GLC serupa juga wujud di peringkat negeri di bawah kerajaan yang dikawal parti politik berbeza. Berdasarkan analisisnya, hal ini menjadikan isu tersebut bersifat sistemik, bukan terbatas kepada mana-mana satu parti.


BAHAGIAN 1: Pinjaman di luar belanjawan: Menjejaki hutang berbilion ringgit yang dijamin kerajaan

BAHAGIAN 2: Hutang luar bajet: Siapa putuskan kerajaan jamin pinjaman berbilion ringgit?