Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berharap agar PAS tetap mengemukakan satu nama sahaja sebagai calon tunggal untuk jawatan menteri besar Selangor.

Katanya, PAS perlu bertindak sejajar dengan keputusan parti tersebut dalam konsensus Pakatan Rakyat sebelum ini yang bersetuju untuk menamakan calon tunggal.

"Kita berpegang pada keputusan Majlis Pimpinan Pakatan (MPP) yang turut dipersetujui PAS yang hanya satu nama sahaja iaitu Datuk Seri Wan Azizah (Wan Ismail) dicalonkan.

"Apa-apa selain itu bukan daripada konsensus Pakatan," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di bangunan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

Ditanya lanjut mengenai pendirian PAS yang akan menamakan tiga calon PKR bagi jawatan berkenaan, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada kebijaksaan pemimpin PAS.

"Itu terpulang pada PAS. Kita serah pada kebijaksanaan pemimpin PAS," katanya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang berkata, parti itu akan mencalonkan sekurang-kurangnya tiga ADUN PKR untuk menjawat kedudukan menteri besar Selangor.

Menurut Mustafa, senarai calon tersebut akan diserahkan kepada Istana sebelum Rabu depan.

Ia bagi memenuhi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar ketiga-tiga parti dalam Pakatan mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar Selangor kepada baginda.

Lihat Komen
ADS