Dari gas pemedih mata ke tahanan rumah, Bersih beri isyarat ‘lawan’
Selepas membawa ribuan rakyat Malaysia turun ke jalanan bersama PH dan Anwar Ibrahim, berdepan gas pemedih mata, meriam air dan penahanan besar-besaran, termasuk terhadap pemimpinnya sendiri - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyatakan kekesalan apabila Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukumannya menerusi tahanan rumah.
Memberi isyarat tidak akan membiarkan keputusan itu berlalu tanpa bantahan, badan pemantau pilihan raya tersebut berkata, mereka akan mengadakan mesyuarat tergempar bersama rakan-rakan masyarakat sivil, gerakan anak muda dan mahasiswa bagi menentukan langkah seterusnya.
Bagaimanapun, Bersih menegaskan bahawa tindakan itu tidak seharusnya dilihat sebagai tidak menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong atau sebagai tindakan tidak setia terhadap institusi diraja.
“Keputusan tanpa ada sebarang penjelasan yang jelas dan syarat yang boleh diterima, akan menyukarkan rakyat untuk menerima bahawa sang perasuah akan boleh lena di katil yang empuk dan rumah yang selesa.
“Dikala aktivis yang memperjuangkan dan melawan rasuah dibekukan akaun dan disekat pergerakan mereka, yang rasuah dan salah guna kuasa pula diberikan diskaun dan pengampunan. Hanya satu kata daripada rakyat - lawan,” tegas Bersih dalam kenyataan media bertajuk “sang koruptor duduk rumah mewah, rakyat jujur sengsara di rumah susah”.
Bersih menyifatkan perkembangan terbaru itu sebagai “satu tamparan hebat terhadap usaha menegakkan keadilan dan perjuangan rakyat Malaysia menentang rasuah”.
“Rakyat Malaysia telah lama menyuarakan kebimbangan mereka mengenai rasuah, dan Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menyeru kerajaan supaya memerangi rasuah. Dengan membenarkan Najib menjalani baki hukumannya di rumah, perkara ini sudah pasti akan menghantar mesej yang amat mengelirukan kepada rakyat.
“Di satu pihak, kita memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa; di pihak yang lain, mereka yang terlibat dan disabitkan dengan rasuah serta penyalahgunaan kuasa boleh dibebaskan,” tambahnya.
Bersih turut menegaskan bahawa skandal 1MDB merupakan bukti berlakunya salah laku besar-besaran yang melibatkan dana awam dan kepentingan negara, dengan berbilion ringgit hilang dan negara terus menanggung hutang yang besar akibat penyelewengan tersebut.
“Ini telah menjadi satu babak gelap dalam sejarah negara kita. Kes ini malah menjadi bahan perbincangan di seluruh dunia.
“Lebih-lebih lagi, kelonggaran ini diberikan tanpa rakyat dimaklumkan, apatah lagi ditanya sama ada mereka bersetuju beliau diampunkan dan diberikan status tahanan rumah,” tambahnya.
Mereka turut menyuarakan kebimbangan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan itu akan menjadi satu duluan yang tidak baik.
“Jika Najib diberikan kelonggaran untuk menjalani hukumannya di bawah tahanan rumah di sebuah kediaman yang pastinya lebih besar dan lebih mewah daripada kediaman rakyat Malaysia biasa, adakah ini bermakna selepas ini, jika bekas perdana menteri didakwa dan disabitkan atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mereka juga akan diampunkan dengan menggunakan duluan Najib ini?
“Siapakah individu yang terlibat dalam rasuah yang akan dibebaskan dan diampunkan selepas ini?” soalnya.
Kali terakhir Bersih turun ke jalanan dalam perhimpunan besar-besaran menentang bekas perdana menteri itu melalui Bersih 5 pada November 2016, kurang daripada dua tahun sebelum gabungan pimpinannya mengalami kekalahan bersejarah dalam pilihan raya umum 2018.
Pada 18 November 2016, sehari sebelum Bersih 5, polis menyerbu pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya dan menahan pengerusi badan pemantau itu ketika itu, Maria Chin Abdullah, serta pengurus sekretariat, Mandeep Singh.
Maria kemudiannya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), manakala Mandeep disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
/file/attachments/orphans/11111_881084.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/05c16879aaa37ca4f9debdb2a26eac19.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/02/d9e1b99d924558749c63eb648af0e45c.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/12/6d025f82c241086b1eb417d0900d32e3.jpg)
/file/attachments/orphans/anwaronpodcast2026091602_678858.png)
/file/attachments/orphans/hannahyeoh20260916_792822.png)