AGC bukan hakim: 'Datuk Undang' tuntut SUK letak jawatan
Undang Luak Negeri Sembilan yang dipertikaikan statusnya bersama Tunku Besar Tampin membidas Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana menyifatkan keputusan exco negeri menurunkan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai pemerintah tidak sah.
Majlis Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menyangkal dakwaan AGC bahawa syarat di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) tidak dipenuhi ketika mereka mengisytiharkan penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar pada 19 April lalu.
Menyifatkan kenyataan AGC sebagai “amat mengelirukan”, majlis itu berkata agensi persekutuan berkenaan tidak berhak mencampuri hal ehwal dalaman Negeri Sembilan atau cuba bertindak sebagai hakim.
“Kenyataan Jabatan Peguam Negara itu amat mengelirukan kerana memberi gambaran bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (MMKN) bertindak secara salah menurunkan takhta DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/799fed72888d99d374467e20541249f3.png)
“Sebaliknya, keputusan penurunan takhta itu dibuat oleh Undang Yang Empat di bawah kuasa prerogatif mereka dan Perkara 10(2) UUTKNS turut mensyaratkan Menteri Besar menandatangani Proklamasi tersebut.
“Tindakan exco menerima proklamasi tersebut sepatutnya dihargai oleh Jabatan Peguam Negara kerana menjunjung prinsip keluhuran perlembagaan.
“Dalam pada itu, pihak kami berpandangan bahawa Jabatan Peguam Negara tidak berhak mencampuri hal ehwal dalam Negeri Sembilan dan sepatutnya tidak bertindak menjadi hakim untuk mempertikai keputusan MMKN,” menurut kenyataan yang dikeluarkan sekretariat majlis itu.
AGC pertikai penurunan takhta
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim mengesahkan kepada pemberita bahawa exco negeri memutuskan untuk menerima proklamasi Undang Yang Empat yang menurunkan takhta Tuanku Muhriz dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baru.
/file/attachments/orphans/IsmailLasim2_490242.png)
Sebagai maklum balas, AGC menegaskan menteri besar dan exco negeri tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Menurutnya, keabsahan dan kuat kuasa proklamasi itu mesti ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.
AGC turut membangkitkan beberapa dakwaan kelompongan dalam proses berkenaan, termasuk kegagalan memenuhi alasan pelucutan kelayakan di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Negeri Sembilan serta status beberapa penandatangan yang dipertikaikan selepas mereka didakwa dilucutkan jawatan mengikut peraturan adat di luak masing-masing.
Bagaimanapun, majlis berkenaan menegaskan penurunan takhta Tuanku Muhriz dilakukan mengikut tatacara yang ditetapkan, termasuk siasatan oleh Undang Yang Empat terhadap dakwaan salah laku pemerintah itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/08/27a92c50668dcaa68b6d0874f3a331de.jpg)
Menurutnya, proses siasatan berhubung dakwaan salah laku Tuanku Muhriz dijalankan dalam mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 5 Mac lalu, sebelum disusuli siasatan lanjut oleh Undang Yang Empat pada 19 April.
Majlis itu turut mendakwa terdapat status quo berhubung kedudukan Undang luak yang dipertikaikan susulan injunksi ad interim yang dikeluarkan mahkamah pada 21 Mei.
Menurut sekretariat berkenaan, Mubarak Thahak dari Sungai Ujong, Maarof Mat Rashad dari Jelebu, Mohammed Abdullah dari Johol dan Abdul Rahim Yasin dari Rembau kekal sebagai Undang luak yang sah dan diiktiraf.
“Sehubungan itu, kami menggesa Jabatan Peguam Negara meneliti semula kenyataannya berdasarkan fakta sebenar sebelum sebarang pandangan lanjut dikeluarkan kepada umum.
“Ini khususnya memandangkan bahawa persoalan pematuhan tatacara adat di bawah Perkara 10 adalah persoalan adat Melayu yang tertakluk kepada prinsip kemuktamadan nasihat Dewan di bawah Perkara 16(3) UUTKNS 1959, dan bukan perkara yang wajar disentuh secara sepihak oleh mana-mana jabatan eksekutif sebelum ia dirujuk kepada DKU atau diputuskan mahkamah.”
Undang tuntut tindakan kerana enggan warta
Sementara itu, majlis berkenaan menggesa Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Zafir Ibrahim meletakkan jawatan serta-merta.
Gesaan itu dibuat susulan keengganan Zafir atas nasihat AGC untuk melaksanakan arahan exco negeri untuk mewartakan proklamasi Undang Yang Empat.
Jika pegawai kerajaan itu enggan berbuat demikian, majlis berkenaan menggesa tindakan tatatertib dimulakan terhadapnya kerana mengingkari pentadbiran negeri.
“Ini kerana Setiausaha Kerajaan Negeri wajib mematuhi arahan ‘Government of the day’ bukan menerima arahan daripada pihak luar yang tidak berkenaan dengan pentadbiran negeri,” tegas majlis itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/2fad8db89eebcb4956856fc91429ec39.jpg)
