Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO buat 10 laporan polis terhadap wartawan Mkini
Diterbitkan:  Sep 3, 2014 8:58 AM
Dikemaskini: 9:56 AM

Sepuluh laporan polis telah dibuat terhadap portal berita Malaysiakini dan penolong editornya yang berpejabat di Pulau Pinang, Susan Loone, berhubung sebuah laporan berita yang didakwa memfitnah polis. 
 
Laporan itu dibuat oleh PERKASA dan 13 NGO lain di Balai Polis Jalan Pantai di Pulau Pinang pada kira-kira jam 6 petang semalam. 
 
NGO itu menggesa pihak polis menyiasat artikel bertajuk Disoalsiasat Selama 4 jam, dakwa dilayan seperti 'penjenayah' yang diterbitkan pada hari Isnin di laman Malaysiakini Bahasa Malaysia. 
 
Laporan berita tersebut adalah terjemahan artikel Susan Loone yang bertajuk ' Exco man grilled for four hours, treated like a criminal'  yang juga diterbitkan pada hari yang sama. 
 
Laporan berita itu adalah berdasarkan temu bual telefon pada kira-kira jam 1.30 pagi hari Isnin di mana ahli Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh (kanan) mendakwa beliau dilayan seperti seorang 'penjenayah' ketika polis menyoalsiasatnya selama empat jam, mengambil gambarnya dan cap jarinya. 
 
Beliau kemudiannya ditahan semalaman di lokap sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis pada hari berikutnya. 
 
Dalam laporannya, Ketua Wira PERKASA Pulau Pinang, Mohd Rizuad Mohd Azudin menggesa Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi supaya mengambil tindakan terhadap Susan Loone kerana didakwanya memfitnah pasukan itu dengan niat untuk mencemar imej dan kredibiliti polis. 
 
Abdul Rahim, ketika ditanya mengenai komen Phee pada hari Isnin, menolak dakwaan itu sebagai sebagai "pendapat peribadi" ahli exco tersebut dan berkata pihak polis telah mematuhi prosedur operasi standard. 
 
 

Lihat Komen
ADS