Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PKR berpendapat siri dakwaan terhadap ahli akademik dan ahli politik Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini berlaku kerana Datuk Seri Najib Razak ingin membuktikan beliau juga tegas seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

MP Bukit Katil dari PKR, Shamsul Iskandar Mad Akin berpandangan yang siri dakwaan itu hanya dibuat selepas Mahathir mengkritik dan menarik balik sokongannya pada Najib yang disifatkan Mahathir sebagai "terlalu lembut" dalam isu-isu penting.

"Apakah Najib ingin membuktikan kepada Mahathir beliau tegas dan menggunakan Akta Hasutan ini untuk menahan mereka yang bercanggah dengan kerajaan BN?" kata Shamsul pada sidang media di ibu pejabat PKR, petang ini.

Menurutnya lagi, langkah mendakwa mereka yang tidak sependapat dengan kerajaan itu mirip kepada pendekatan yang diguna pakai kerajaan pimpinan parti PAP di Singapura.

Namun katanya, di Malaysia keadaannya berbeza kerana majoriti rakyat dakwa beliau memilih Pakatan Rakyat walaupun kerajaan yang memerintah adalah BN.

"Saya ingin ingatkan Najib dan Putrajaya jangan cuba meminjam strategi yang digunakan kerajaan PAP Singapura.

"Saya fikir di Malaysia ini nuansanya berbeza dengan kekuatan Parlimen dan negeri-negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat," katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran kempen jelajah seluruh negara Mansuhkan Akta Hasutan (MAH) oleh PKR.

Lihat Komen
ADS