Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Ab Samad menafikan laporan bahawa beliau dipanggil menghadap Sultan Selangor untuk ditemubual sebagai calon menteri besar.

Dalam jawapan ringkas kepada Malaysiakini, Iskandar menjawab bahawa  beliau masih bermesyuarat dan akan membuat lawatan ke sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) petang ini.

Ditanya mengenai kebenaran laporan bahawa beliau dan dua lagi Exco PAS dipanggil menghadap Sultan minggu ini, Iskandar hanya menjawab ringkas dengan kiasan yang menarik.

"Besok tak ada (menghadap), lusa tak ada, minggu depan pun tak ada," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini hari ini difahamkan Istana memanggil tiga EXCO PAS yang dinamakan sebagai calon PAS dalam surat pertama yang dihantar kepada Istana Selangor oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang minggu lalu.

Surat itu menimbulkan kontroversi apabila seorang pemimpin kanan PAS berang dan surat kedua yang mengandungi nama dua ADUN PKR dan seorang dari PAS kemudiannya dihantar beberapa jam kemudian.

Satu portal hari ini melaporkan Iskandar dijadualkan menghadap Sultan hari ini manakala timbalannya, Sallehen Mukhyi dijangka menghadap esok.

Seorang lagi Exco, Dr Ahmad Yunus Hairi dikatakan akan menghadap pada hari Rabu.

Sementara itu seorang wakil kanan Istana tidak mahu mengulas perkara ini ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan sultan memanggil ADUN untuk ditemui berkaitan krisis pentadbiran Selangor.

Hari ini, Setiausaha Sulit Sultan Datuk Mohamad Munir Bani berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah berdukacita dengan tindakan  DAP dan PKR yang hanya menghantar satu nama dan mengulas tindakan itu sebagai "biadap."

Beliau juga mengatakan bahawa sultan mungkin memilih ADUN lain dari Pakatan Rakyat yang berkelayakan menjadi menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat PKR pada 9 Ogos lalu.

Lihat Komen
ADS