Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan penerbitan didakwa menghasut melalui satu tulisan di Facebook pada tahun 2012 yang didakwa menghina sultan Selangor.

Wan Ji, 32, dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan atas tulisannya yang antara lain mempersoalkan kelayakan sultan Selangor sebagai ketua agama.

Hukuman tersebut memperuntukkan hukuman denda lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun.

Hakim Slamat Yahya membebaskan beliau dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, dan mengarahkan beliau menyerahkan pasport antarabangsanya.

Wan Ji melalui peguamnya Mohd Razlan Jalal bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa pasport milik Wan Ji telah tamat tempoh dan kini hilang.

Sehubungan itu, hakim memerintahkan agar pihak pendakwaan memberi surat kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi menyekat Wan Ji keluar negara.

Pendakwaan dilakukan Mohd Azari Harun, manakala kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Oktober.

Penceramah lulusan pengajian Islam dari Pakistan itu ditahan polis awal pagi ini.

Kritikan pedas

Menurut sumber, beliau ditahan di Bandar Baru Sungai Buloh dan akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk didakwa.

Wan Ji seorang penulis blog terkenal menggunakan nama Al-Bakistani. Tahun lalu laporan polis dibuat terhadapnya kerana dikatakan mengkritik raja-raja Melayu.

Anggota PAS itu juga terkenal dengan kritikan pedasnya terhadap kumpulan proulama dalam parti Islam itu.

Sementara itu dalam kenyataan mereka, Pemuda DAP dan AMK membantah sekeras-kerasnya penahanan Wan Ji dan sedia membantu menyediakan bantuan guaman kepadanya.

"Penangkapan pendakwah muda oleh pihak berkuasa ini telah memberi mesej yang salah terhadap amalan demokrasi dalam negara kita.

"Kita menjunjung undang-undang dan undang-undang juga memelihara hak rakyat untuk bersuara dan meluah pendapat," kata Ketua Pemuda DAP Teoh Kok Seong.

 

"Pihak kami komited menuntut kerajaan agar mendengar suara rakyat dengan memansuhkan akta lapuk dan zalim ini," kata anggota Majlis Pimpinan AMK Zafril Eusoff pula.

Lihat Komen
ADS