Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mimbar beri amaran cubaan hina Islam
Diterbitkan:  Sep 12, 2014 11:31 AM
Dikemaskini: 6:58 AM

Mimbar Jumaat hari ini memberi amaran kepada umat Islam tentang cubaan merosakkan sikap bertolak ansur antara agama yang telah bertapak di kalangan rakyat Malaysia selama ini.

Tidak menamakan pihak yang dimaksudkan, teks khutbah sediaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu mendakwa pihak itu menghina Islam dan hak penganutnya di negara ini.

"Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar akhir-akhir ini terdapat segelintir mereka yang cuba mengherot-berotkan toleransi ini dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku.

"Mereka sengaja menggunakan pelbagai isu untuk menggugat kontrak sosial yang telah diperakukan bersama.

"Demi mengejar kuasa dan pengaruh, mereka berani mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, peranan mahkamah syariah dan bidang kuasa raja sebagai ketua agama dan adat istiadat Melayu di negara ini.

"Mereka juga memperlekeh dan menghina hak peribadi umat Islam," teks khutbah itu dipetik, yang ada dalam lamab web Jakim.

Mimbar turut memetik statistik laporan polis yang dibuat berkenaan dakwaan terhadap isu sensitif dalam setengah tahun pertama tahun ini.

'Tak puas hati'

"Apa yang mendukacitakan masih terdapat segelintir masyarakat yang salah faham, tidak boleh menerima nasihat dan tidak puas hati dalam isu-isu tertentu seperti agama, etnik dan hak asasi manusia.

"Buktinya, statistik daripada PDRM yang menerima sebanyak 853 laporan daripada 33 kes melibatkan isu sensitif perkauman sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2014 di seluruh negara," khutbah itu dipetik.

Teks khutbah itu turut menasihatkan umat Islam agar berhati-hati dalam menanggapi isu-isu sensitif di antara kaum.

"Mimbar ingin menasihatkan semua pihak agar tidak mengambil sesuatu tindakan menurut hawa nafsu semata-mata.

"Dan tidak mengikut telunjuk pihak yang mempunyai kepentingan peribadi dengan mengapi-apikan isu toleransi yang disepakati bersama.

"Kerana ianya dikhuatiri akan menyalakan api permusuhan antara kita, yang seterusnya akan menggugat keharmonian dan keamanan negara," teks itu dipetik lagi.

Lihat Komen
ADS