Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan, mereka yang tidak memberi wang royalti kepada Kelantan sebagai berdosa di dunia dan akhirat.

Malah, bekas menteri besar itu berkata, beliau turut mempersoalkan penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) berhubung pemberian wang ihsan di negeri itu.

"Royalti hak Kelantan. Kenapa negeri lain boleh, Sarawak boleh (dapat) royalti, Sabah boleh (dapat) royalti, Terengganu boleh (dapat) royalti. Kenapa Kelantan tak boleh. Berdosa dunia akhirat. Dia (kerajaan) mesti beri.

"Saya nak soal, kenapa Kelantan sahaja yang ada JPP? Kerana apa? Dia tak percaya dengan pegawai kerajaan ke? Duit bukan beri pada saya tetapi beri pada setiausaha kerajaan (negeri) dan pegawai kewangan kerajaan.

"Kenapa tak beri (wang royalti)? (Ini perbuatan) khianat. Jahat. Tak selamat. Berdosa dunia akhirat. Saya tak izin satu sen pun. Saya tak izin sebagai ketua kerajaan. saya tak izin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap di Surau Lama Kampung Geting, Pengakalan Kubor, Kelantan.

Selain itu, ketika ditanya apakah bukti yang mengatakan kerajaan persekutuan berhutang wang royalti kepada kerajaan negeri, Nik Aziz dengan tegas berkata, pembayaran wang tersebut tidak dilakukan secara terus kepada kerajaan negeri.

Sebaliknya beliau berkata, wang tersebut telah diberi kepada pihak lain dan bukan kepada kerajaan negeri.

"Tak bayar pada kerajaan Kelantan. Bayar pada orang lain. Itu bukan bayar. Saya berhutang duit pada saudari, tapi saya bayar pada orang lain, itu bayar ke?

"Fikirlah. Kita manusia ini ada otak. Lembu tak ada otak, kerbau tak ada otak, gajah tak ada otak. Yang ada otak ini manusia. Manusia yang mesti bertanggungjawab di dunia dan akhirat," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS