Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azizah tarik diri calon MB Selangor
Diterbitkan:  Sep 22, 2014 9:00 PM
Dikemaskini: Sep 23, 2014 9:17 AM

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memutuskan untuk menarik diri dari pencalonan sebagai menteri besar Selangor.

Katanya, beliau menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang telah dibuat oleh Sultan Selangor yang memperkenankan pelantikan Timbalan Presiden, Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor yang baru.

Berikut adalah kenyataan penuh Wan Azizah:

Saya menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang telah dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor yang memperkenankan YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

 

Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada 29 ahli Dewan Negeri Selangor dari KEADILAN, DAP dan PAS yang telah memberikan sokongan kepada saya sejak 14 Ogos 2014 dan membolehkan Pakatan Rakyat kekal sebagai kerajaan di Selangor. Saya menghargai kesepakatan 29 ahli Dewan Negeri Selangor ini yang meletakkan kepentingan menjaga mandat rakyat mengatasi kepentingan peribadi mereka.

 

Atas semangat itu, saya telah membuat keputusan untuk menarik diri dari pencalonan sebagai Menteri Besar Selangor. Saya telah mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Ahli Dewan Negeri Kawasan Bukit Antarabangsa diangkat sebagai calon Menteri Besar Selangor. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada hari ini telah juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu.

 

Saya mengambil keputusan ini demi kepentingan rakyat atas kesedaran bahawa krisis ini perlu diselesaikan secepat mungkin. Saya yakin bahawa KEADILAN telah kekal mempertahankan prinsip demokrasi raja berpelembagaan. Walaupun proses perlantikan ini pada hemat saya tidak menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, saya percaya tumpuan perlu dikembalikan kepada usaha membela rakyat di Selangor.

 

Oleh itu, saya telah menyatakan pandangan saya kepada pimpinan parti mengenai beberapa program khusus yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk mengangkat martabat dan kebajikan rakyat Selangor.

Sementara itu, Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN (MPP) telah mengadakan satu mesyuarat tergempar hari ini berikutan perkembangan terbaru perlantikan menteri besar Selangor.

Berikut adalah resolusi yang telah diluluskan sebulat suara di dalam mesyuarat tersebut:

1.      MPP mengambil maklum bahawa pada 22 September 2014, pihak Istana telah mengutuskan satu surat memaklumkan kepada Saudara Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN akan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ke atas perlantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor. Beliau telah juga dijemput untuk upacara angkat sumpah pada 23 September 2014.

2.      MPP melahirkan rasa yang amat kesal dengan layanan yang telah diberikan oleh pihak Istana terhadap pencalonan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang telah memenuhi kehendak Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dengan sokongan majoriti 30 ahli Dewan Negeri. MPP juga tidak bersetuju dengan cara pihak Istana menangani proses pencalonan yang melibatkan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga beliau langsung tidak dipanggil mengadap walaupun mempunyai sokongan majoriti yang jelas.

3.      Oleh itu, MPP berpendapat bahawa proses memperkenan lantikan Menteri Besar Selangor yang baru ini tidak mengikut kehendak Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan bertentangan dengan amalan prinsip demokrasi berparlimen. Ia juga menjejaskan kemuliaan institusi raja berpelembagaan.

4.      Walau bagaimana pun, MPP juga mengambil kira keperluan menyelesaikan isu perlantikan Menteri Besar Selangor ini secepat mungkin demi menjaga kepentingan rakyat.

5.      Makanya, MPP telah memutuskan untuk menghormati permintaan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk beliau menarik diri dari dicalonkan agar isu ini dapat diselesaikan segera. Berikutan itu, MPP juga bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar Saudara Azmin Ali dikemukakan sebagai calon Menteri Besar supaya pencalonan Saudara Azmin Ali itu adalah dari parti mengikut tuntutan amalan demokrasi.  

6.      Ini selaras dengan pendirian MPP bahawa kemuliaan perlembagaan dan keluhuran undang-undang perlulah dipertahankan sepanjang masa. MPP menegaskan juga bahawa proses yang tidak menepati kehendak undang-undang ini tidak boleh dijadikan satu duluan (precedent) di masa hadapan.

 

Lihat Komen
ADS