Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ibrahim berkata pasukannya memohon kerjasama polis antarabangsa untuk mengesan dan menangkap Alvin Tan dan Ali Abdul Jalil.

Permohonan itu yang dikenali dengan kod 'notis merah' dipohon PDRM melalui Interpol, katanya.

"Kita telah memohon notis merah melalui Interpol dan kita tunggulah," katanya ringkas pada sidang media di Cheras hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu ditanya tentang tindakan polis terhadap dua individu berkenaan yang menyusup ke luar negara untuk mengelak daripada dibicarakan di mahkamah.

Sebelum ini Alvin Tan dan pasangannya, Vivian Lee dituduh bawah Akta Hasutan dan Akta Penapisan Filem kerana memuat naik bahan kontroversi di Internet.

Pada 25 September lalu, Alvin dilaporkan lari ke Amerika Syarikat dan sedang memohon suaka politik dari negara itu.

Ali Abdul Jalil pula telah ditangkap empat kali dan berhadapan dengan tiga tuduhan menghasut.

Beliau dituduh berbuat demikian kerana didakwa menghina institusi Raja-Raja Melayu menerusi Facebook.

Menurut Ali, beliau ada mendapatkan pandangan Alvin sebelum lari menyusup ke luar negara.

Judi internet

Sementara itu, Bernama melaporkan mengenai judi internet, Khalid berkata pihaknya bersama Jabatan Peguam Negara sedang merangka satu tindakan perundangan yang boleh diambil terhadap

pemilik premis dan premis terlibat menjalankan perjudian haram.

    

"Bagi membanteras kegiatan judi haram itu kita sedang merangka satu undang-undang bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang mempromosi 'online gambling' ini termasuk tuan punya premis terbabit," katanya.

    

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk meminda akta sedia ada atau mewujudkan akta baru bagi mengekang kegiatan judi haram.

     

Media sebelum ini menyatakan pandangan beberapa pihak bahawa undang-undang berkaitan perjudian iaitu Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dianggap sudah 'lapuk'.

    

Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula tidak memberi kuasa untuk menutup, menyita dan melucut hak terhadap pemilik premis yang didapati menjalankan kegiatan judi haram.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata polis masih menunggu permohonan justifikasi daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mendapatkan lesen senjata api bagi anggota penguatkuasa agensi itu.

    

"Kita akan melihat dulu justifikasi mereka secara terperinci," katanya.

    

Permohonan itu berikutan insiden beberapa pegawai penguatkuasa SPAD diserang sekumpulan lelaki ketika pegawai-pegawai itu melakukan sekatan jalan raya di Jalan Lapangan Terbang Padang Mat Sirat, Langkawi pada Jumaat lepas.

Lihat Komen
ADS