Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sogokan: SPRM akan temui usahawan China
Diterbitkan:  Nov 21, 2014 3:10 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menemui seorang hartawan China yang mendakwa pernah membayar sogokan sebanyak USD100,000 kepada ahli politik Malaysia bagi memudahkan satu operasi lombongnya di Terengganu.

Pengarah siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata, dakwaan oleh ketua eksekutif syarikat CAA Resources itu dipandang serius kerana turut menjejaskan nama pihak istana.

“SPRM akan bertemu dengan Li Yang untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

"Dakwaan dibuat oleh Li Yang juga boleh merosakkan nama dan imej pihak istana di mana kemungkinan ada pihak tengah yang cuba mengambil kesempatan meminta wang daripada ahli-ahli perniagaan.

"SPRM akan bertindak tegas jika benar wujud perbuatan meminta wang sogokan atau rasuah daripada ahli-ahli perniagaan bagi memudahkan operasi perniagaan," kata Mohd Jamidan dalam kenyataannya.

Laporan New York Times semalam menyebut, Li Yang mendakwa telah membayar USD100,000 (RM336,500) kepada setiap ahli politik yang mempunyai kepentingan tidak langsung dengan lombong di Bukit Besi itu.

Usahawan itu mendakwa membuat bayaran itu untuk mendapatkan gelaran “Datuk”.

Menurut laporan itu, Li, 27, yang merupakan anak lelaki hartawan besi di China, didakwa berbuat demikian sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk "membina hubungan" dengan ahli politik dan pihak kerabat.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dalam reaksi segera semalam berkata beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS