Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang pemimpin bahagian Umno, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, para perwakilan parti bebas untuk membangkitkan isu membabitkan orang Melayu dalam mesyuarat agung parti 2014.

Bagaimanapun, para perwakilan tetap ditegah daripada membangkitkan isu yang melukai perasaan kaum lain dalam persidangan itu, katanya.

Katanya, itu difahaminya daripada peringatan setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mahu perwakilan Umno agar tidak menyentuh isu berbaur perkauman dan keagamaan.

"Beliau bersikap adil apabila mengingatkan perwakilan yang mereka boleh berbahas tetapi jangan sampai menyakitkan hati orang lain," katanya lagi.

Setiausaha agung Umno Wilayah Persekutuan itu berpendapat, ia merupakan peringatan lazim kepada para perwakilan pada setiap tahun.

Menurut Syed Ali, mesyuarat tahunan Umno itu merupakan tempat terbaik untuk mendengar suara akar umbi tentang isu berkaitan orang Melayu serta agama Islam.

"Yang itu kita boleh bahaskan kerana ini adalah parti orang Melayu dan ini adalah perhimpunan agung Umno.

"Kalau kita tak bahaskan perkara ini pada perhimpunan agung Umno, bila lagi kita hendak bincangkan?" kata Syed Ali kepada Malaysiakini.

Sementara itu, bekas exco Pemuda Umno Malaysia, Tun Faisal Ismail Abdul Aziz turut berkongsi sentimen yang sama dengan Syed Ali.

"Setiap tahun ingatan yang sama diberikan tetapi ia tiada niat untuk mengehadkan perbahasan," katanya.

Menurutnya, perwakilan yang akan berucap kelak sememangnya diberi ruang secukupnya untuk menyampaikan pandangan mereka.

"Mereka bukan sahaja membawa aspirasi parti tetapi juga membawa aspirasi akar umbi setempat mereka," kata Tun Faisal yang sebelum ini terlibat dalam urusetia yang meneliti usul perhimpunan agung Umno.

Lihat Komen
ADS