Mukhriz, Azimi dicalon cabar Khairy untuk naib ketua Pemuda
Dalam satu perkembangan yang agak mengejutkan, Datuk Azimi Daim dan Datuk Mukhriz Mahathir telah dicalonkan untuk bertanding jawatan naib ketua Pemuda Umno Malaysia.
Dalam satu perkembangan yang agak mengejutkan, Datuk Azimi Daim dan Datuk Mukhriz Mahathir telah dicalonkan untuk bertanding jawatan naib ketua Pemuda Umno Malaysia.
Mukhriz yang juga anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dicalonkan oleh Umno bahagian Kubang Pasu. Manakala Azimi yang sebelum ini telah menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut, dicalonkan oleh Umno bahagian Gua Musang.
Seorang lagi calon, iaitu menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin telah mendapatkan 14
pencalonan
bagi bertanding jawatan yang sama.
Bagi melayakkan bertanding jawatan naib ketua Pemuda, Khairy, Azimi dan Mukhriz perlukan mendapatkan 15 peratus atau 29 pencalonan daripada 191 bahagian Umno.
Sementara itu Bernama melaporkan, Mukhriz, 40, berkata beliau sendiri terperanjat dan tidak menjangka akan dicalonkan untuk jawatan tersebut.
"Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Umno bahagian Kubang Pasu kerana mencalonkan saya. Saya masih baru dalam politik dan berharap bahagian lain juga mencalonkan mereka yang menawarkan diri sebagai calon," katanya.
Mukhriz yang merupakan anak ketiga Dr Mahathir berkata selama ini beliau memberi tumpuan kepada jawatan ketua pemuda bahagian dan jawatan exco pemuda.
Pada sebelah pagi tadi, Tengku Razaleigh Hamzah turut
mengejutkan
arena politik tempatan apabila beliau menawarkan diri untuk dicalonkan bertanding jawatan presiden menentang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pencalonan Mukhriz untuk jawatan naib ketua Pemuda disifatkan mengejutkan kerana sebelum ini semua pihak yakin yang Khairy bakal memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding.
Ini berikutan keputusan beberapa exco Pemuda, termasuk Datuk Azimi Daim yang telah mengumumkan akan menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut untuk memberi laluan kepada Khairy.
Dan pada hari kedua pemilihan Umno bahagian, semua pencalonan bagi jawatan Ketua Pemuda dan naib ketua diberikan kepada Datuk Hishammuddin Hussein dan Khairy sehinggalah bahagian Kubang Pasu mencalonkan Mukhriz untuk jawatan tersebut.
Isi kekosongan
Sumber-sumber yang rapat dengan Pemuda Umno berpendapat lebih banyak 'kejutan' akan berlaku sepanjang dua minggu mesyuarat bahagian Umno mulai 8 hingga 22 Julai ini.
Jawatan naib ketua Pemuda Umno menjadi kosong selepas penyandangnya sekarang, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir Datuk melepaskan jawatannya kerana melebihi had umur 40 tahun.
Selain Azimi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bandar Baharu, tiga lagi ahli exco pergerakan tersebut turut menyatakan kesediaan mereka untuk dicalon bagi bertanding jawatan yang sama.
Mereka ialah Datuk Norza Zakaria, Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Datuk Abdul Hamid Nazahar.
Bagaimanapun, selepas Pemuda Umno Perak menyatakan sokongan terbukanya kepada Khairy untuk menyandang jawatan tersebut, kesemua mereka telah menarik diri.
Berikutan itu, Khairy dijangka mendapat sokongan sebulat suara dari kesemua 191 bahagian semalam.
Bagaimanapun, dengan pencalonan Mukhriz dan Azimi hari ini, kemungkinan besar Khairy terpaksa bertanding bagi merebut jawatan naib ketua Pemuda Umno Malaysia.
Bahagian Gua Musang hari ini mencalonkan Azimi, bukan Khairy seperti yang diputuskan melalui satu usul yang dibuat oleh pergerakan itu dua hari lepas.
Rabu lepas, Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Rujhan Salleh berkata pergerakan itu bersetuju membawa usul mengekalkan Hishammuddin sebagai Ketua Pemuda dan mencalonkan Khairy sebagai Naib Ketua pada persidangan perwakilan Pemuda bahagian yang bermula semalam.

