Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS berkata parti itu masih memerlukan musuhnya Umno untuk melengkapkan perjuangan mereka untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam atau hudud.

Parti itu juga percaya rang undang-undang persendirian mengenai hudud ke parlimen akan menjadi ujian terakhir keikhlasan Umno terhadap orang Islam.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah - satu-satunya pemimpin dalam PAS yang dibenarkan bercakap tentang hudud kepada media - tidak ada jalan bagi PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud tanpa Umno membuka jalannya.

Tanpa sokongan daripada DAP dan PKR mengenai hudud, PAS kini tidak hanya memerlukan agensi kerajaan seperti polis dan Jabatan Penjara, parti itu juga amat memerlukan sokongan anggota parlimen Umno bagi memastikan rang undang-undang persendirian itu diluluskan bagi membolehkan pelaksanaan undang-undang itu.

Bagaimanapun, Amar, yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan, menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyertai Umno dan BN.

"Kami tidak sesekali menghulurkan tangan menyertai Umno - kami tidak akan terperangkap dengan Umno buat kali kedua - cukuplah keperitan yang kami lalui sebelum ini," katanya.

 

Pada 1973, PAS bekerjasama dengan Umno dalam BN, tetapi berpecah kepada empat kumpulan serpihan yang dianggap hampir membawa kepada hukuman mati dalam politik ketika itu.

 

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS