Belajar 'persahabatan' dari pimpinan Sabah dan Sarawak, kata Anwar depan Zahid
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji ahli-ahli politik dari Sabah dan Sarawak sambil menyelitkan beberapa sindiran terhadap timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi, semasa ucapannya pada sambutan Hari Malaysia malam tadi.
Perkembangan ini hadir di tengah-tengah pergeseran di kalangan sekutu kerajaan perpaduan, dengan Anwar dilihat memerlukan sokongan berterusan daripada blok Borneo untuk kekal berkuasa.
Anwar menyampaikan ucapan Hari Malaysia itu di Kuching, Sarawak. Pemimpin daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Malaysia Timur turut hadir, termasuk Zahid, Premier Sarawak Abang Johari Openg, dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Dalam ucapannya, Anwar menzahirkan penghargaan kepada pemimpin Sabah dan Sarawak atas semangat setiakawan mereka.
"Saya bersyukur kerana pimpinan peringkat jemaah menteri ,ya kadang-kadang adalah sedikit-sedikit, suara-suara dalam perhimpunan dan sebagainya ,itu biasa-biasa. Tenang-tenang Pak," katanya sambil tersenyum.
"Tetapi dalam hubungan saya dengan pimpinan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah saya ucap saya sangat hargai dan terharu dengan persahabatan yang jitu begini.
"Dan sering saya sampaikan kepada kawan-kawan saya di Semenanjung, banyak yang boleh kita belajar dari pimpinan Sabah dan Sarawak ini," tambahnya.
/file/attachments/orphans/anwar144_423813.png)
Kamera siaran langsung ucapan Anwar kemudian beralih memaparkan wajah Zahid yang kelihatan serius dan tanpa reaksi, sementara Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak Abd Karim Rahman Hamzah, dilihat bertepuk tangan.
Sebelum ini, semasa Perhimpunan Agung Umno, Zahid telah melontarkan beberapa kritikan terhadap Anwar, termasuk mempersoalkan dasar ekonominya dan pengendalian subsidi Budi95.
Presiden Umno itu — yang mahukan pilihan raya umum diadakan awal — mendakwa bahawa tindakan sedemikian akan menyebabkan kerajaan tumbang.
Sokongan parti Borneo jadi penentu
Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak semestinya benar.
Pada masa ini, Anwar mendapat sokongan daripada 150 ahli parlimen, termasuk tujuh bekas wakil rakyat Bersatu yang kini berstatus bebas.
BN hanya memiliki 30 kerusi, dan sekiranya mereka keluar daripada gabungan, Anwar masih akan mempunyai sokongan 120 ahli parlimen—iaitu lapan kerusi melebihi majoriti mudah.
Walau bagaimanapun, untuk kekal berkuasa sehingga tamat penggal, perdana menteri memerlukan sokongan daripada blok Borneo, dengan GPS dari Sarawak dan GRS dari Sabah masing-masing menguasai 23 dan tujuh kerusi ahli parlimen.
/file/attachments/orphans/anwar22_949887.png)
Parti-parti Borneo lain yang sokongannya terus diperlukan Anwar ialah Warisan (3 ahli parlimen), KDM (2), dan Star (1), serta PBM (1) - yang dipimpin oleh ahli politik berpangkalan di Sarawak, Larry Sng.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar turut memuji kerajaan Sarawak atas keupayaannya membayar RM1.8 bilion kepada Putrajaya bagi melengkapkan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu.
Dia berkata ini merupakan bukti ekonomi yang diurus dengan baik serta kepimpinan yang kukuh.
"Ini saya ceritakan fakta bukan saya kempen untuk GPS, bukan," katanya sambil ketawa kecil.
"Tetapi kerana—dan Zahid tahu perkara ini—saya disergah di parlimen, mengapa peruntukan ditambah untuk pembangunan dan pengurusan di Sarawak dan di Sabah, Hajiji, ditambah tinggi kerana seolah-olah saya bimbang dengan tuntutan mereka (parti Malaysia Timur).
"Saya jawab saya lihat ini sebagai janji dan menegakkan keadilan. Mereka ketinggalan, jalannya lubang-lubang. Pan Borneo disiapkan. Itu bukan janji saya. Itu janji bapa-bapa kita. Saya hanya teruskan kerana bagi saya pimpinan itu mesti melaksanakan dan mengotakan janji mereka," katanya.
Walau bagaimanapun, perdana menteri berkata Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak dapat ditunaikan selagi ahli-ahli politik Semenanjung menganggapnya sebagai masalah Malaysia Timur dan bukannya tanggungjawab nasional.
Dia berkata ini kerana sesetengah ahli parlimen nampaknya tidak memahami bahawa terdapat Perjanjian Tanah Melayu 1957 dan juga MA63.
Sebagai sebahagian daripada usaha pentadbirannya untuk menunaikan MA63, Anwar semalam mengumumkan bahawa geran interim khas Sarawak akan dinaikkan kepada RM1.5 bilion, selaras dengan peningkatan bayaran khas kepada Sabah.
Geran interim tahunan ini merupakan langkah sementara, sambilmenunggu formula jangka panjang bagi memenuhi kewajipan perkongsian hasil Putrajaya dengan Malaysia Timur seperti yang termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Anwar juga telah mengumumkan bahawa Putrajaya akan bergerak ke arah memenuhi perjanjian supaya Sabah dan Sarawak merangkumi satu pertiga daripada kerusi Parlimen.
Sementara itu, Premier Sarawak Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas peningkatan bayaran khas serta komitmen untuk memenuhi kedua-dua aspek peruntukan kerusi dan kewajipan perkongsian hasil seperti yang termaktub dalam MA63.
Dia juga menyatakan bahawa Sarawak sedang melangkah maju hasil daripada kerjasama erat antara GPS dan kerajaan persekutuan.
/file/attachments/orphans/image_920535_855432.png)
