Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menyatakan sokongan terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Aminuddin yang juga Pengerusi PKR negeri menyeru rakyat negeri itu supaya bersatu dan mempertahankan kedaulatan sistem raja berperlembagaan.

"Saya menyeru agar rakyat Negeri Sembilan bersatu hati dan mendoakan kesejahteraan DYMM Tuanku Muhriz serta mempertahankan kedaulatan institusi raja berperlembagaan.

"Tolak pemimpin yang mengkhinati institusi raja dan melanggar perlembagaan," katanya.

Sementara itu, Adun Bahau Teo Kok Seong dan Adun Nilai yang juga Ketua Pembangkang, J Arul Kumar, mempersoalkan sama ada kenyataan berisan Exco itu boleh dianggap sebagai pendirian rasmi kerajaan negeri.

Teo, yang pernah berkhidmat sebagai anggota Exco negeri, berkata pendirian atau pengumuman rasmi kerajaan lazimnya dibuat menerusi kenyataan menteri besar atau pejabat setiausaha kerajaan negeri.

“Oleh itu, kenyataan bersama barisan Exco hanya mencerminkan pendirian ahli-ahli Exco berkenaan dan tidak wajar dianggap sebagai pendirian rasmi kerajaan negeri,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Arul menggesa penjelasan segera berhubung apa yang disifatkannya sebagai dua kenyataan media berbeza dan kelihatan bercanggah mengenai Tuanku Muhriz dan institusi diraja.

Arul merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar, Ismail Lasim semalam dan kenyataan Exco hari ini.

Ismail sebelum ini berkata menteri besar tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar yang sedang memegang takhta dan merujuk kepada peruntukan perlembagaan negeri.

“Setiap ahli MMK berhak mempunyai pandangan dan pendirian yang berbeza semasa perbincangan. Namun, setelah sesuatu keputusan dibuat, keputusan rasmi kerajaan mestilah satu dan tidak boleh disampaikan dalam bentuk berbeza-beza sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

“Sekiranya benar terdapat dua kenyataan yang bercanggah mengenai perkara yang sama, keadaan ini perlu dijelaskan dengan segera oleh pihak kerajaan negeri,” kata Arul.

Arul turut menggesa kerajaan negeri menjelaskan keputusan sebenar yang dibuat dalam mesyuarat Exco.

“Apakah kedua-dua kenyataan media tersebut berdasarkan keputusan MMK yang sama? Sekiranya terdapat perbezaan, apakah keputusan rasmi yang sah dan terpakai? Apakah langkah yang akan diambil bagi menyelesaikan perkara ini selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959?

“Sebarang penyelesaian hendaklah dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang dan saluran perlembagaan yang sewajarnya,” katanya.

Reaksi berkenaan susulan perkembangan terbaru dalam pertikaian berhubung takhta Negeri Sembilan yang telah berlarutan selama beberapa bulan.

Dalam kenyataan hari ini, barisan Exco negeri berkata proklamasi bertarikh 19 April yang menyingkirkan Tuanku Muhriz telah ditandatangani dan dimeterai oleh Undang Luak yang sah, serta keputusan menyingkirkan baginda merupakan hak prerogatif mutlak Undang Yang Empat.

Kenyataan itu turut menyebut tandatangan Ismail sebagai menteri besar pada 3 Ogos melengkapkan proklamasi berkenaan selaras dengan perlembagaan negeri.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyentuh pendirian Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bahawa Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, yang membenarkan Undang yang empat menyingkirkan Yamtuan dengan mensyaratkan siasatan penuh dan menyeluruh.

Ismail sebelum ini mendakwa dia dipaksa menandatangani proklamasi itu pada 3 Ogos dan membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.