Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan mengesahkan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar negeri itu.

Dewan berkenaan, yang bertindak sebagai badan penasihat mengenai hal ehwal adat serta pelantikan dan pemecatan Yang di-Pertuan Besar, menegaskan tiada kekosongan atau pengganti bagi jawatan itu "selagi jawatan berkenaan diisi secara sah mengikut undang-undang".

“Dewan menegaskan semula bahawa DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang di-Pertua Dewan.

“Tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah,” kata Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas majlis mesyuarat kerajaan negeri semalam mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan pemecatan Tuanku Muhriz dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu.

Kenyataan daripada exco kerajaan negeri itu bagaimanapun bercanggah dengan kenyataan terdahulu pada 15 Sept daripada Menteri Besar Ismail Lasim, yang menyatakan menteri besar tidak mempunyai kuasa sepihak untuk memecat pemerintah negeri.

Kedua-dua kenyataan dikeluarkan berikutan mesyuarat majlis mesyuarat kerajaan negeri pada 15 Sept, yang dipengerusikan oleh Ismail.

DKU hari ini menyatakan kenyataan daripada ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri menyentuh perkara itu adalah di luar bidang kuasa mereka dan bertentangan dengan keputusan mengikat DKU untuk menyokong Tuanku Muhriz.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan Proklamasi tersebut atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

"(Kenyataan daripada majlis mesyuarat kerajaan negeri) bertarikh 16 September 2026 tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang,” kata DKU.

adat perpatih undang luak negeri sembilan ai generated image 300626

Dewan itu seterusnya mengulangi bahawa pengisytiharan 19 April, yang dirujuk oleh ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dalam alasan mereka untuk memecat Tuanku Muhriz, adalah "tetap cacat sejak awal lagi".

"Tiada siasatan menurut Perkara X (1) UUTKNS 1959 pernah dilaksanakan; tiga daripada empat orang yang menandatanganinya tidak memegang jawatan Undang pada tarikh tersebut; dan berikutan keengganan Menteri Besar yang ketika itu untuk menandatanganinya, fungsi di bawah Perkara X (2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan sehingga proklamasi itu luput dan terbatal.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak boleh memulihkan kecacatan tersebut," kata DKU.

Sambil mengambil maklum bahawa perkara itu kini dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Seremban yang sebelum ini mengeluarkan injunksi interim bagi mengekalkan status quo, DKU menyatakan semua pihak perlu menghormati proses mahkamah dan memelihara diri daripada mengambil langkah yang boleh memintas atau mengganggu proses tersebut.

Peguam dakwa derhaka, bekas MB pertikai pendirian exco

Sementara itu, peguam bagi DKU dan setiausahanya turut menuduh ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri cuba melakukan rampasan kuasa dan menderhaka, yang menurut Tetuan Halim & Ismail patut dihukum di bawah Kanun Keseksaan dan semua undang-undang lain.

Berdasarkan surat undang-undang yang diserahkan kepada Ismail, 10 ahli exco, setiausaha kerajaan negeri, dan penasihat undang-undang negeri, peguam berkenaan menyatakan anak guam mereka "amat terkejut dengan pengumuman cuai" yang didakwa mengabaikan perintah injunksi mahkamah pada 5 Jun.

Mengambil kira pendirian anak guam mereka bahawa pengumuman majlis mesyuarat kerajaan negeri berhubung pemecatan Tuanku Muhriz melanggar injunksi, firma guaman itu menyatakan DKU dan Raja Norazli berhasrat memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap penerima surat berkenaan atas pelanggaran itu.

Secara berasingan, bekas menteri besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun turut menuduh ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang terlibat dalam perkara itu sebagai menderhaka terhadap Tuanku Muhriz.

Menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap ahli exco berkenaan, tegasnya dia tidak mengiktiraf pengumuman mereka semalam dan mengekalkan pendirian bahawa Tuanku Muhriz adalah Yang di-Pertuan Besar.

Aminuddin HarunAminuddin

“Pada 9 September 2026, kerajaan negeri semasa telah menyatakan secara terbuka bahawa dokumen proklamasi tersebut tidak memenuhi proses dan tatacara yang ditetapkan dalam Perkara 10.

“Kerajaan negeri turut menyatakan bahawa proklamasi itu tidak sah, bercanggah dengan perlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan,” pengerusi PKR negeri itu dalam kenyataan awal pagi ini.

“Namun, tujuh hari kemudian, ahli-ahli exco kerajaan negeri yang sama pula memutuskan bahawa proklamasi tersebut telah lengkap dan berkuat kuasa. Perubahan pendirian ini sukar difahami,” tambahnya.

Sementara itu, The Star melaporkan Tuanku Muhriz dijadualkan pulang daripada perjalanan ke luar negara malam ini.

Memetik poster yang tular di media sosial, laporan itu menyatakan penganjur menggesa orang ramai berhimpun di tempat letak kereta Tingkat 5 Terminal Satu KLIA pada jam 8.30 malam ini.

Perhimpunan itu dikatakan dianjurkan oleh Profans, Waris Dato Siamang Gagap, Waris Negeri Sembilan, dan Pekan.