Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Masyarakat bukan Melayu yang menolak BN atas alasan mahukan “kesetaraan” digesa menuntut kerajaan Selangor meminda enakmen berkaitan bagi membolehkan kalimah Allah digunakan mereka.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz ( bawah ) berkata, perkara itu bukan masalah kerana Pakatan Rakyat kini menguasai dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

"Orang Kristian yang nak guna kalimah Allah itu kena desak Azmin sebab mereka (Pakatan) ada dua pertiga untuk pinda enakmen itu, untuk keluarkan seksyen berkaitan.

“Pinda supaya orang Kristian boleh guna. Nak sangat kesetaraan kan," katanya yang juga menteri pelancongan.

Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti Melayu seperti Umno, PKR dan PAS terpaksa "mengemis"  mendapatkan sokongan politik golongan Cina.

Nazri berkata beliau bersetuju dengan kenyataan Mahathir itu.

Katanya, memandangkan parti yang mewakili kaum Melayu kini terbahagi kepada tiga kumpulan, maka kaum Melayu perlu mengemis dan adakalanya sanggup "menjual" bangsa sendiri demi mendapatkan kemenangan dalam pilihan raya umum. 

 
"Betullah kita mengemis. Betul apa Tun cakap. Apa yang salahnya?  Sebab ia faktor penentu kemenangan pilihan raya. 
 
"Apa yang dia (Mahathir) cakap itu betul. Jangan marah dekat dia. Kita kena tahu yang dia sebenarnya sedarkan kita. Eh sedarlah Melayu. Tak sedar lagi ke?," kata Nazri lagi. 
 
Sabtu lalu, dalam ucapan perasmian di satu seminar, Mahathir berkata orang Melayu gang membentuk 60 peratus daripada jumlah penduduk sepatutnya memenangi pilihan raya. 
 
Bagaimanapun, perkara itu tidak terjadi kerana menurutnya Melayu kini terpisah kepada tiga kumpulan. 
 
Justeru, katanya, kaum Melayu terpaksa mengemis dan meminta pertolongan daripada kaum lain terutama golongan Cina untuk mendapatkan sokongan. 
 
 
Lihat Komen
ADS