PARLIMEN | Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail akan mencadangkan agar minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Kuala Lumpur yang memutuskan supaya Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjaranya di rumah dinyah klasifikasi.

Katanya, cadangan berkenaan akan dibentangkan semasa mesyuarat kabinet esok.

Menurut Saifuddin, idea tersebut dibawa oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) dan jika diterima akan dapat memberikan perspektif yang lebih tepat mengenai proses membuat keputusan oleh lembaga berkenaan.

"Saya (akan) membawa ideanya ke jemaah menteri untuk kita declassify... bukan laporan (tapi) minit mesyuarat lembaga pengampunan supaya ia memberikan keadilan atau memberikan perspektif yang lebih tepat terhadap satu proses di mana Lembaga Pengampunan itu berlaku.

"Saya fikir itu dalam jurisdiction dan tanggungjawab peguam negara, tapi saya tak ada keberatan (halangan).

“Esok mesyuarat jemaah menteri, saya akan – menteri pendidikan tinggi ada, kawan-kawan rakan saya ada – saya akan bawa.

"Saya akan memberanikan diri membawa, bahawa ini syor daripada Muar (Syed Saddiq).

“Syornya spesifik, apakah kerajaan bersedia untuk menimbangkan untuk declassify minit (mesyuarat lembaga)," kata Saifuddin ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi ini.

Menteri tersebut sedang menjawab soalan daripada beberapa ahli parlimen berkenaan syarat dikenakan terhadap Najib apabila Syed Saddiq membangkitkan isu mengenai polemik yang timbul daripada keputusan tahanan rumah.

Tiada yang baru jika yang lama tak cacat

Menurut Syed Saddiq, isu itu menyaksikan banyak laporan polis dibuat terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, serta tuduhan bahawa sesiapa yang tidak bersetuju dengan keputusan lembaga pengampunan adalah penderhaka.

Bekas menteri belia dan sukan itu kemudian bertanyakan jika Saifuddin akan mempertimbangkan kemungkinan untuk mencadangkan kepada kabinet supaya "laporan" Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berenaan dinyah klasifikasi agar polemik yang ada dapat diselesaikan.

Dia juga berpendapat adalah tidak adil untuk kerajaan terus menanggung beban moral kesan keputusan itu secara sendirian.

Sementara itu, dalam sesi sama, Saifuddin mempertahankan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan satu order of discharge (perintah pelepasan) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Nov untuk Najib menjalani tahanan rumah.

Dalam responnya kepada Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), menteri itu menjelaskan kekeliruan timbul daripada terma yang digunakan dalam perintah mahkamah, menyebabkan Jabatan Penjara Malaysia mendapatkan nasihat perundangan daripada AGC.

Najib Razak tiba di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.


Kata Saifuddin, kekeliruan itu berkisar kepada terma discharge atau “lepas” yang digunakan kerana boleh membawa maksud supaya Najib dilepaskan dari penjara secara serta merta.

"Penjara tak ada say lagi, tak ada kuasa lagi (jika ia ditafsir sebagai dilepaskan). Release (membawa maksud) lain.

"Kita bebaskan (Najib) untuk tahanan (atau) kita bebas untuk tahanan rumahkah? Atau untuk pembebasan berlesen, perintah kehadiran wajib, atau parol?

"Jadi, kerana kekeliruan itu, saya beritahu kepada Ketua Komisioner Jabatan Penjara, siapakah penasihat undang-undang kerajaan? Itulah Peguam Negara.

"Itu prosesnya untuk kami. Kami pelaksana, kami bukan pentadbir undang-undang," kata Saifuddin.

Menurut ahli Dewan Negara itu lagi, keputusan dibuat mahkamah tinggi pada Selasa membuktikan bahawa persoalan yang dibangkitkan AGC tersebut adalah berasas.

Kata menteri, mahkamah tidak akan mengetepikan perintah asal bertarikh 6 Nov dan mengeluarkan perintah baru jika ia tidak cacat.