Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus mengingatkan anggota polis supaya tidak teragak-agak untuk melepaskan tembakan sekiranya mereka berdepan sebarang ancaman.

Peringatan itu dibuat susulan satu kejadian serangan di Kepong malam tadi yang menyebabkan seorang anggota polis terputus bahagian tangan akibat ditetak.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki warga asing bersenjatakan dua bilah parang menyerang anggota keselamatan di luar sebuah unit pangsapuri ketika polis tiba bagi menyiasat laporan mengenai kejadian pergaduhan.

Polis kemudian mengesan suspek di sebuah taman permainan berhampiran. Lelaki itu sekali lagi menyerang anggota polis sebelum mereka melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

Suspek disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang.

Dalam satu rakaman audio yang dimuat naik di laman Facebook Polis Kuala Lumpur selepas kejadian itu, Fadil berkata dia tidak mahu insiden seumpama yang berlaku di Kepong berulang sehingga membahayakan anggota polis yang bertugas.

"Jadi make sure seperti mana yang saya cakap, mesti ready, mesti tahu draw, mesti tahu engage. Keluarkan senjata api, ready, cock (pistol), tembak sekiranya ada apa-apa halangan, tembak. Ada keraguan, tembak. Ada rasa kerisauan, ada ancaman, tembak. Jangan tunggu," katanya.

Sementara itu, New Straits Times (NST) melaporkan Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, sebagai berkata anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun yang putus tangan dalam kejadian itu telah menjalani pembedahan menyambung semula anggota badannya di Hospital Kuala Lumpur.

Keadaannya dilaporkan stabil.