Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pinjaman baharu di bawah Kerajaan MADANI adalah untuk membiayai pembangunan negara, termasuk sekolah, hospital, jalan raya serta bekalan air dan elektrik. 

“Kita juga terpaksa memenuhi tanggungan kewangan yang diwarisi. Pada 2023 sahaja, sebanyak RM13 bilion diperlukan untuk melunaskan bon 1MDB,” kata beliau. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata selagi belanjawan negara dalam defisit dan dibiayai melalui pinjaman, bermakna jumlah hutang akan terus bertambah. 

“Hutang bersifat terkumpul. Pinjaman bersih tahun semasa menambah baki hutang tahun terdahulu yang belum dilunaskan.

“Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran dengan jumlah hutang yang sudah sedia menggunung melepasi RM1 trilion,” kata Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Howard Lee Chuan How (DAP-Ipoh Timor) berhubung kerajaan masih belum berjaya mengurangkan hutang negara ke paras yang lebih mampan serta sejauh mana kedudukan fiskal semasa memberikan ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan langkah-langkah intervensi bagi melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekiranya konflik di Asia Barat semakin meruncing.

Anwar berkata selaras dengan komitmen Akta FRA, Kerajaan MADANI telah melaksanakan pembaharuan fiskal yang berjaya mengawal penompokan hutang yang telah berkurangan kepada 3.7 peratus pada 2025 daripada 6.4 peratus pada 2021, sebanyak 5.5 peratus (2022), 5 peratus (2023), 4.1 peratus (2024).

Ia diunjurkan berkurangan kepada 3.6 peratus pada 2026, sebanyak 3.3 peratus (2027) dan 3 peratus (2028).

Beliau berkata defisit menurun bermakna pinjaman baharu berkurangan kepada RM75.6 bilion pada 2025 daripada RM76.8 bilion pada 2024, sebanyak RM92.6 bilion (2023), RM100 bilion (2022) dan RM100 bilion (2021).

“Keperluan pinjaman bersih bagi tahun 2026 dijangka sekitar komitmen hutang tahun lalu meskipun kerajaan menanggung tekanan subsidi yang lebih tinggi akibat konflik di Asia Barat,” kata beliau. 

Nisbah hutang Persekutuan kepada saiz ekonomi atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga adalah pada landasan menurun kepada 64 peratus pada 2026 daripada 65.2 peratus pada 2025.

Beliau berkata ia diunjurkan menurun kepada 63.7 peratus pada 2027 dan sasaran FRA adalah 60 peratus. 

Menjawab dakwaan bahawa nisbah hutang kepada KDNK pentadbiran terdahulu adalah lebih rendah, Anwar berkata dakwaan tersebut tidak menggambarkan kedudukan sebenar kewangan negara secara menyeluruh.

“Ini kerana perbandingan berdasarkan nisbah hutang kepada KDNK semata-mata tidak mencukupi untuk menilai keseluruhan tanggungan kewangan kerajaan,” kata beliau. 

Beliau berkata sebelum 2018, sebahagian perbelanjaan kerajaan turut dibiayai melalui kaedah off-balance sheet termasuk komitmen jaminan kerajaan dan projek kerjasama awam-swasta (PPP).

Walaupun komitmen tersebut tidak direkodkan sebagai hutang langsung, ia tetap mempunyai implikasi terhadap kedudukan kewangan kerajaan dan berpotensi menjadi tanggungan kepada negara.

Justeru, angka hutang langsung kira-kira 50 peratus daripada KDNK pada ketika itu tidak mencerminkan keseluruhan komitmen dan tanggungan kewangan negara.

Apabila hutang dan liabiliti diambil kira secara menyeluruh, kedudukan sebenar kewangan negara adalah menurun kepada 80.7 peratus pada Jun 2026 daripada 80.9 peratus pada akhir 2022 dan 80.3 peratus pada 2017.

Perdana Menteri berkata pengurusan kewangan tidak hanya tertumpu kepada memperkukuh kedudukan fiskal yang lebih mampan tetapi turut memastikan dasar fiskal terus mengembang bagi menyokong pertumbuhan ekonomi. 

Beliau berkata penyasaran subsidi turut melindungi rakyat daripada turun naik harga minyak global akibat konflik di Asia Barat. 

Anwar berkata menjelang genap empat tahun pentadbiran MADANI, petunjuk ekonomi terus menunjukkan asas memberangsangkan yang menjadi benteng untuk negara lebih berdaya tahan.

Antaranya anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), KDNK suku ketiga berkembang sebanyak 5.3 peratus.

“Ini menandakan pencapaian pertumbuhan dijangka melebihi 5 peratus bagi tahun ketiga berturut-turut di bawah MADANI.  Pengangguran setakat September 2026 pada paras 2.9 peratus, iaitu terendah dalam tempoh  lebih 10 tahun. 

“Inflasi terkawal dan dijangka kekal di bawah 2 peratus tahun ini,” kata beliau.

-Bernama