30 mayat ditemui, ekor pesawat dikesan
"Kami berjaya mengesan ekor pesawat menggunakan sonar imbasan sisi," kata Kolonel Yayan Soyan dalam Metro TV.
Menurutnya, objek itu berada di dasar laut pada kedalaman 29 meter.
6.35pm: Pesawat Korea Selatan P3-C Orion KN-01 mengesan enam mayat, termasuk tiga penumpang yang duduk di barisan yang sama dalam pesawat malang itu.
"Selepas mencari selama dua jam, mereka ternampak tiga mayat duduk di barisan yang sama," demikian menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh unit komunikasi tentera Indonesia, lapor detik.com.
Pesawat Korea Selatan itu bagaimanapun, buat masa ini telah pulang ke pangkalan.
Lokasi nahas kubur kapal WW11
6.10pm: Laut Jawa, tempat tumpuan carian rangka QZ8501, juga merupakan kubur kapal Perang Dunia II, lapor detik.com .
Kehadiran rangka kapal perang yang karam di situ menjejaskan ketepatan carian menggunakan teknologi moden.
Oleh itu, apabila pasukan pencari mengesan kehadiran objek logam di kawasan itu, ia tidak semestinya rangka pesawat malang berkenaan.
Kawasan itu merupakan lokasi Pertempuran Laut Jawa pada 27 Februari 1942, di mana pasukan kapal perang Berikat yang terdiri daripada Belanda, Amerika Syarikat, kapal-kapal British dan Australia, dikalahkan oleh tentera Imperial Jepun mengakibatkan kehilangan lima kapal perang dan 2,300 orang, manakala pasukan Jepun hanya kehilangan sebuah kapal pemusnah mereka.
Carian kotak hitam
5.45pm: Oleh kerana laut bergelora, operasi mencari kotak hitam pesawat itu telah dihentikan buat masa ini, kata Basarnas dalam laporan detik.com.
"Keadaan laut tidak membolehkan carian itu diteruskan buat masa ini," kata Ketua Basarnas Supriyadi.
4.45pm : Seorang daripada tiga yang dikenal pasti - Grayson Herbert Linaksita - adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Ketua DVI, Budiyono berkata Grayson menaiki penerbangan itu bersama dua lagi anggota keluarga dengan pangkal nama sama - Kathleen Fulvia Linaksita, 12 tahun dan Tony Linaksita, lapor detik.com.
Hubungan sebenar di antara ketiga-tiga mereka belum dapat ditentukan.
Mayat yang berjaya dikenal pasti diserahkan kepada keluarga.
4pm : Tiga lagi mayat dikenal pasti berdasarkan sampel DNA, rekod pergigian dan kaedah-kaedah lain.
Ketua pasukan mengenal pasti mangsa nahas (DVI) Budiyono berkata mereka yang dikenal pasti adalah Grayson Herbert Linaksita, Khairunisa Haidar Fauzi, dan Kevin Alexander Sutjipto, lapor detik.com
Semua mereka adalah rakyat Indonesia.
3.30pm : Menteri Pengangkutan Indonesia Ignasius Jonan dilaporkan berang dengan AirAsia Indonesia kerana didakwa tidak mengikut prosedur, lapor detik.com.
Ini ekoran lawatan menteri itu ke ibupejabat syarikat penerbangan itu dekat Jakarta untuk memantau prosedur pra-penerbangan, di mana beliau memberi amaran bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap pelanggaran prosedur.
Ia melaporkan Jonan berang kerana sebelum berlepas, juruterbang sepatutnya mendapatkan taklimat terus dari pegawai operasi penerbangan, terutama mengenai keadaan cuaca.
Namun selama ini, AirAsia hanya bergantung kepada lamanweb Agensi Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik, lapornya memetik pembantu Jonan - Hadi M Djuraid sebagai berkata.
Solat jenazah ghaib
3.20pm: Satu jemaah seramai lebih 5,000 orang mengadakan solat jenazah ghaib buat mereka yang terkorban dalam tragedi pesawat QZ8501.
Solat itu berlangsung di Masji Makassar, Al Markaz Al Islami di Sulawesi Selatan.
Kapal pencari Jepun turut serta
2.41pm : Kapal Angkatan Pertahanan Maritim Jepun, JS Ohnami dan JS Takanami berlepas dari Pelabuhan Klang di Malaysia jam 7 pagi ini menuju ke kawasan pencarian, lapor Channel News Asia.
Dua lagi mayat turut dibawa helikopter US Seahawk dari kawasan pencarian dan tiba di Pangkalan Bun.
1.30pm : Pramugari Khairunisa Haidar dikenal pasti sebagai antara 10 mayat yang dibawa naik ke darat, lapor akhbar Singapura Straits Times.
Ia dikenal pasti menerusi seragam merah dengan tanda nama 'Khairunisa".
Mayat beliau disimpan dalam keranda ditanda "No. 004" yang kini berada di Surabaya.
12.10pm: Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Datuk Abdul Aziz Jaafar menerusi akaun Twitter be;iau mengumumkan tiga kapal akan mengendalikan Underwater Marine Detection System (Side-scan Sonar dan Pinger Locator) untuk mencari rangka pesawat.
11am : Pihak forensik berkata mereka menghadapi masalah mengenal pasti salah seorang mangsa kerana cap jarinya tidak dapat disahkan, kerana terlama terdedah kepada air laut, laporan Channel NewsAsia.

