Khutbah Jumaat Selangor hari ini menolak tanggapan sebahagian masyarakat bahawa amalan menutup aurat menyekat kebebasan individu.

“Dakwaan ini harus disangkal sama sekali.

“Ia digembar gemburkan oleh musuh-musuh Islam dengan pelbagai dakyah hingga sebahagian umat Islam terpengaruh dan mempercayainya,” menurut mimbar.

Khutbah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu juga berkata kekeliruan itu berpunca apabila umat Islam terbuai dengan “hiburan dan santapan fesyen pakaian yang pelbagai rupa”.

Mimbar juga menegaskan bahawa pengharaman mendedahkan aurat bukan bertujuan menyekat kebebasan tetapi untuk memuliakan dan menghargai manusia.

“Tiada lelaki dan wanita yang teraniaya dengan menutup aurat, sebaliknya dengan mendedahkan aurat ia telah menzalimi diri mereka dan boleh merosakkan orang lain,” katanya.|

Ibarat rumah dibiar terbuka

Khutbah juga membuat perbandingan menarik berhubung keperluan menutup aurat dengan tindakan mengunci rumah untuk keselamatan.

“Rumah A ditinggalkan dalam keadaan dikunci rapi tingkap dan pintunya, pagarnya pula berkunci dengan mangga.

“Manakala rumah B pula dibiarkan terbuka dan ditinggalkan begitu sahaja. Manakah rumah yang paling diminati dan diceroboh oleh pencuri?

“Sudah tentu rumah B kerana ia terdedah dan memudahkan anasir luar mencerobohnya,” menurut teks khutbah itu lagi.