Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kira-kira seramai 400 orang gabungan mahasiwa dan anak muda berhimpun di pusat membeli belah Sogo petang ini sebagai sokongan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir di perhimpunan yang bermula sekitar jam 4.30 petang ini ialah anak sulung Anwar, Nurul Izzah, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing, Adam Adli, Safuan Anang, Bawani KS, KC Heng dan Fahmi Zainol.

Mereka turut berucap dengan Nurul berkata mereka adik beradik akan berjaga di luar penjara setiap malam.

 

Manakala Nik Nazmi pula mengedarkan poskad “March 2 Freedom’ yang dialamatkan kepada Anwar di penjara.

 

Pada kira-kira jam 5.40 petang, mereka mula berarak menuju ke Dataran Merdeka sambil melaungkan ‘Reformasi’ dan ‘Hidup Anwar’.

Bagaimanapun, mereka kemudiannya beralih menuju ke arah Pudu Raya kerana Dataran Merdeka ditutup.

Sambil berjalan, mereka menyanyikan lagu anak muda dan  lagu mahasiswa.

Kereta yang lalu lalang membunyikan hon berulang kali sebagai tanda sokongan

Terdapat 10 anggota polis yang kelihatan mengawal trafik. Kumpulan itu memenuhi dua lorong jalan di depan sogo, dan satu lagi untuk laluan kereta. Pihak polis hanya memerhatikan demonstrasi itu.

Kelihatan sekumpulan yang menutup muka dengan topeng menconteng bas polis dengan spray hitam dan merah dan meninggalkan kawasan itu.

 

Sumpah anak muda

 

Sesampainya di Pudu Raya aktivis anak muda Adam Adli membacakan “sumpah anak muda”.

Katanya mereka akan terus berdemonstrasi setiap hari Sabtu sehingga kerajaan sedia ada sekarang ini tumbang.

Dalam sumpah itu turut menyebut mereka akan mengajak anak muda untuk turun minggu hadapan.

Sementara itu, Fahmi Zainol berkata, mereka memakai baju bewarna hitam menandakan demokrasi sudah mati, malah menjangkakan anak muda akan turun lebih ramai minggu hadapan.

“Hari ini kita jangka 500 orang akan turun, minggu depan jumlah yang turun kita pastikan akan meningkat sehingga kerajaan Najib tumbang.

“Rakyat akan turun lagi ramai minggu depan, rakyat sudah muak dengan kezaliman sekarang,” katanya.

Tambahnya, idea membuat demo di Sogo hingga dataran kerana sejarah reformasi tahun 1998 bemula di situ.

Demonstrasi tersebut berakhir pada jam 7.15 malam dan beransur secara aman.

Lihat Komen
ADS