Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sirul, ibu berpelukan dalam tangisan
Diterbitkan:  Mar 3, 2015 9:40 PM
Dikemaskini: 1:59 PM

Suasana hiba dan sayu menyelubungi pertemuan antara Sirul Azhar Umar, bekas anggota pasukan elit polis yang dihukum mati, dengan ibunya di Sydney.

Pertemuan selama dua jam itu bermula dengan tangisan ibunya Piah Samad yang berpelukan dengan Sirul, kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood.

Ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar, yang mengiring lawatan Piah bersama anak perempuannya Noriatin Umar, menceritakan saat-saat penuh emosi itu dalam kenyataannya dari Australia malam ini.

"Tangisan air mata kerinduan seorang ibu kepada anaknya yang berjauhan dan belum tentu nasib (Sirul) yang melanda," katanya.

Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menghukum gantung bekas koperal itu atas kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Sirul didapati bersalah bersama Azilah Hadri, seorang inspektor di Unit Tindakan Khas (UTK).

Mahfuz berkata dalam pertemuan antara jam 5.30 petang hingga 7.30 petang (waktu Sydney), Piah membawa sambal bilis yang dibawa dari kampungnya di Changkat Jering, Perak kepada Sirul.

Ahli parlimen Pokok Sena menambah beliau pula membelikan buah anggur dan membawa kasut sukan.

"Saya berpandangan misi kemanusiaan ini berjaya apabila dapat mempertemukan seorang ibu kepada anaknya yang dikasihi," katanya.

Mahfuz bersama ibu dan adik Sirul berlepas ke Sydney pada Ahad lalu.

Dihubungi Malaysiakini , tokoh PAS itu berkata mereka dibenarkan melawat Sirul setiap hari mulai esok hingga Jumaat.

Menceritakan saat-saat awal pertemuan itu, Mahfuz berkata: "Saya yang jadi sebak melihat mereka berdua berpelukan. Masa hendak berpisah tadi, baru nampak dia (Sirul) sedikit sedih."

Semasa pertemuan itu, mereka hanya bertanya khabar tentang kehidupan Sirul di pusat tahanan, tambahnya.

Sirul sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa beliau sedang menimbangkan untuk membongkarkan siapa dalang di sebalik pembunuhan ngeri tersebut.

Mahkamah tidak menemukan motif kematian Altantuya, yang ditembak dan kemudian dibom di Puncak Alam, Selangor.

Lihat Komen
ADS