Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang dibentangkan dalam persidangan DUN Kelantan hari ini menyentuh tentang kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan ta'zir.

Rang Undang-undang setebal 47 muka surat itu dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob pada jam 11 pagi ini.

Mengikut Rang Undang-undang tersebut, enakmen itu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukalaf iaitu seseorang yang sudah mencapai umur 18 tahun dan sempurna akalnya.

Jenis-jenis kesalahan hudud yang termaktub dalam pindaan itu ialah:

  • Sariqah (mencuri)
  • Hirabah (orang yang merampas harta orang lain dengan kekerasan)
  • Zina termasuk liwat
  • Qazaf (membuat tuduhan zina atau liwat)
  • Syurb (minum arak atau memabukkan)
  • Irtidad (murtad)
Antara lainnya, pindaan baru ini memansuhkan peruntukan yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam – sama ada ingin dibicarakan mengikut undang-undang syariah atau undang-undang sivil.

Ia turut meminda peruntukan yang memberi pengecualian dari hukuman hudud.

Ini termasuk peruntukan untuk tidak memotong tangan seseorang pencuri yang sudahpun  cacat di sebelah tangan, dan sekiranya pesalah itu memperoleh hak mengikut undang-undang ke atas harta yang dicuri itu, sebelum penghakiman dibuat.

Pengecualian ini sama seperti peruntukan yang diperkenalkan PAS di Terengganu dalam Jenayah Kesalahan Syariah (Hudud dan Qisas) di Terengganu pada 2003, selepas parti itu membentuk kerajaan negeri pada 1999.

Selain itu, pindaan ketiga yang dibuat ialah beban bukti bagi mereka yang melaporkan kes zina dan liwat. Di bawah enakmen yang sedia ada, sesiapa yang membuat tuduhan zina atau liwat tanpa empat orang saksi boleh dikenakan hukum qazaf.

Rang Undang-undang baru ini juga membolehkan penuduh memberi keterangan melalui syahadah atau bayyinah (keterangan yang jelas) dan kebal daripada hukuman jika kemudiannya ditentukan bahawa tidak ada bukti yang cukup untuk membuktikan salah laku itu.

Pindaan keempat melibatkan kesalahan liwat antara suami dan isteri, yang memperuntukkan hukuman ta'zir sekiranya didapati bersalah.

Pindaan baru ini juga memansuhkan peruntukan yang menyatakan perbuatan seks antara perempuan, necrofilia (mayat) dan binatang sebagai jenayah.

Bagaimanapun, Rang Undang-undang itu mengekalkan hukuman rejam sampai mati.

Lihat Komen
ADS