Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DUN K'tan lulus RUU pindaan hudud
Diterbitkan:  Mar 19, 2015 12:11 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

DUN Kelantan hari ini meluluskan sebulat suara rang undang-undang pindaan ke atas Kanun Jenayah Syariah II.

Kesemua 44 orang ADUN menyokong cadangan pindaan tersebut selepas perbahasan oleh Datuk Md Alwi Che Ahmad (Umno-Kok Lanas) dan tiga ADUN PAS.

DUN Kelantan dianggotai 45 orang wakil rakyat. Satu daripada kerusi tersebut, Chempaka, kini kosong ekoran kematian penyandangnya allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Terdahulu, PKR mengarahkan wakilnya, Roslan Puteh (PKR-Guchil) untuk tidak menyertai perbahasan mahupun mengundi dalam persidangan hari ini.

Roslan didapati hadir dalam persidangan dan tidak merakamkan bantahan ke atas rang undang-undang tersebut.

Ketika ditanya, Roslan mengesahkan bahawa beliau tidak mengangkat tangan semasa Speaker Dewan bertanya untuk merakamkan bantahan.

"Saya tidak angkat tangan. Orang lain juga tidak angkat tangan," katanya kepada Malaysiakini .

Bagaimanapun, ketika ditanya lagi sama ada beliau bersetuju dengan enakmen tersebut, Roslan hanya berkata: "Saya diarahkan sebagaimana kenyataan Rafizi (Ramli)."

Selepas rang undang-undang itu diluluskan, pindaan perlu dibuat di peringkat Parlimen untuk membolehkannya dilaksanakan.

Timbalan menteri besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika ditemui berkata, usul berkenaan akan dibawa ke Parlimen secepat mungkin.

Bagaimanapun, kerajaan negeri masih belum memutuskan wakil yang akan membentangkan usul berkenaan, katanya.

"Kita akan bawa ke Parlimen secepat yang mungkin dan kalau sempat bulan ini sebelum habis sidang Dewan Rakyat.

"Itu nanti kita tengok (siapa yang akan bawa dan bentangkan RUU ini).

"Kita hanya memerlukan majoriti mudah. Sepertimana yang saya sebut selalu yang mana semua wakil rakyat beragama Islam perlu  sedar tanggungjawab agama dia. InsyaAllah jumlah itu akan mudah untuk dicapai dan mungkin lebih," katanya.

Lihat Komen
ADS