Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lebih 30 gabungan utama persatuan masyarakat Cina meningkatkan bantahan terhadap hudud ketika orang ramai menanti-nantikan pengumuman rasmi Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Kumpulan tersebut, antaranya disertai Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Persatuan Gabungan Guru Sekolah China (Jiao Zong), bersama MCA menolak hudud atas alasan ia "menghakis demokrasi dan menimbulkan kezaliman."

Perkara itu termasuk dalam pengisytiharan lima perkara yang diumumkan selepas pertemuan mereka dengan parti utama BN itu di Kuala Lumpur petang ini.

Perisytiharan itu termasuklah:

- mereka akan terus mempertahankan demokrasi mengikut lunas-lunas undang-undang sivil dan perlembagaan persekutuan sebagai asas berdirinya Malaysia;

- mereka bersetuju bahawa semua undang-undang mesti melayan setiap warga dengan adil dan saksama dan menjaga kepentingan semua etnik;

- menyokong dasar wasatiyyah perdana menteri, dan juga, mendukung bantahan MCA terhadap hudud yang bercanggah dengan perlembagaan.

Dalam sidang media itu, presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perdana menteri memerlukan lebih masa untuk menyatakan pendirian BN.

"Saya percaya BN telah bermesyuarat dan mereka akan mengeluarkan kenyataan bersama nanti. Kami hanya menunggu kenyataan muktamad daripada perdana menteri," katanya.

Sementara itu, ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (kiri) pula berkata hudud itu isu yang rumit tetapi "kita mesti bersandarkan pada fakta bahawa perlembagaan itu tertinggi."

"Saya fikir kita mahu pastikan pendirian BN tidak hanya mencerminkan pandangan-pandangan dalam BN tetapi mengambil kira perlembagaan persekutuan itu tertinggi dan juga Islam sebagai agama persekutuan," katanya di Kuala Lumpur.

Apabila ditanya pendirian perdana menteri, Khairy enggan mengulas tetapi meminta media merujuk terus kepada Najib.

Perdana menteri juga hadir di majlis perasmian Hari Sukan Kebangsaan buat kali pertama di kompleks beli-belah Pavillion tetapi tidak mengadakan sidang akhbar.

Lihat Komen
ADS