Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'tan boleh laksana hudud, kata bekas CJ
Diterbitkan:  Apr 2, 2015 7:40 AM
Dikemaskini: Apr 2, 2015 2:56 AM

Hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan boleh dicapai jika sedia bermula dengan kesalahan terletak di bawah Senarai Negeri, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Beliau berkata antara kesalahan yang terkandung dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan ialah kesalahan melakukan zina, menuduh seseorang berzina, meminum minuman memabukkan dan murtad.

"Bagaimanapun, Parlimen perlu terlebih dahulu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk membolehkan Badan Perundangan Negeri berbuat

demikian.

"Undang-Undang itu adalah di bawah Senarai Negeri, terpakai hanya kepada orang Islam dan ditadbir oleh Mahkamah Syariah," katanya dalam ucaptama pada Seminar Pelaksanaan Hudud di Malaysia: Sejarah dan Masa Depan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya semalam.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lepas sebulat suara meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

Abdul Hamid berkata walaupun ia mungkin 'jalan keluar' yang boleh dilakukan kerajaan Kelantan namun mereka juga perlu memikirkan masalah baharu yang mungkin timbul dari segi perundangan dan pentadbiran selain tindakan tersebut masih memerlukan persetujuan kerajaan persekutuan untuk kelulusan.

Bekas ketua hakim ke-12 itu turut menarik perhatian bahawa undang-undang yang mengenakan hukuman hudud bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan kepada orang Islam sahaja adalah tidak sah dan terbatal kerana bercanggah dengan Perlembagaan.

Abdul Hamid berkata perbincangan tentan hudud juga menyebabkan banyak pihak terkeliru di antara hukum dengan pelaksanaan sedangkan membangkitkan isu-isu yang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan adalah perlu, bukanlah bererti menentang hukum agama.

Memetik kisah Khalifah Umar Al-Khattab yang pernah menggantung pelaksanaan hudud semasa berlaku kelaparan, beliau berkata tiada sesiapa yang menuduhnya menentang hudud dan hukum Allah kerana tindakannya pada masa dan ketika itu adalah sesuai bagi mengelak ketidakadilan jika hudud terus dilaksanakan.

"Saya sedar ucapan saya ini mungkin mengecewakan sesetengah orang, tetapi jika hendak mendengar pandangan jujur saya mengenai hakikat sebenar dari segi Perlembagaan dan undang-undang, itulah dia," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS