Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS Permatang Pauh beri kata dua pada PKR
Diterbitkan:  Apr 19, 2015 6:33 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

PAS Kawasan Permatang Pauh hari ini bertegas menuntut PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud jika mahukan sokongannya pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen kawasan itu.

    

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan memberikan kata dua itu bagi tempoh hingga hari penamaan calon, 25 April ini, sambil menuntut PKR memohon maaf secara terbuka berhubung isu itu.

    

"Jika bersetuju (dengan syarat yang diberikan) maka kami PAS Kawasan Permatang Pauh akan meneruskan kerjasama PAS-PKR dalam pilihan raya kecil ini.

    

"Pendirian ini adalah keputusan yang dibuat dan disepakati dalam mesyuarat agung PAS kawasan kali ke-38 hari ini.

    

"Jika mereka masih berkeras tidak mahu menarik balik kenyataan itu kita tengoklah macam mana nanti," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

    

Pada Mac lepas, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata hukum hudud yang ingin dilaksanakan kerajaan PAS Kelantan tidak perlu disegerakan memandangkan ia bukan dasar bersama yang dipersetujui Pakatan Rakyat (PR), yang dianggotai PAS, DAP dan PKR.  

Beliau berkata dasar bersama yang dipersetujui PR adalah berkaitan ekonomi, pendidikan dan keselamatan malah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pernah menyatakan pendirian sama pada 2010.

    

Pada 18 Mac lepas, Abdul Hadi, yang juga anggota Parlimen Marang mengemukakan notis kepada Dewan Rakyat bagi membentangkan rang undang-undang itu.

    

Mengenai pendirian PAS kawasan itu jika PKR mencalonkan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada PRK itu, Omar berkata masih terlalu awal untuk memperkatakan berhubung perkara itu.

    

Ditanya tentang kenyataannya berhubung 'kejutan' PAS Permatang Pauh sekiranya PKR dan DAP menyinggung dasar perjuangan yang didukung oleh parti, Omar berkata: "Kalau saya beritahu sekarang sudah tidak menjadi kejutan lah".  

    

Beliau berkata pada masa sama pihaknya juga tidak berhasrat untuk membelakangkan keputusan PAS pusat dalam membuat sebarang pertimbangan.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS