Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semua pakai hitam esok, seru BERSIH
Diterbitkan:  May 4, 2015 1:24 PM
Dikemaskini: 11:45 AM

NGO proreformasi pilihan raya BERSIH 2.0 menyeru rakyat berpakaian hitam esok sebagai tanda bantahan terhadap penahanan beramai-ramai peserta himpunan anti-GST Jumaat lalu.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil melancarkan 'Ops Hitam 505' esok sempena ulang tahun kedua BN yang dianggap mereka sebagai "kerajaan minoriti" selepas pilihan raya umum ke-13 lalu.

"Kami memohon kepada semua rakyat Malaysia supaya berpakaian hitam atau memasangkan ribbon atau kain hitam di kenderaan, bangunan atau benda peribadi pada 5hb Mei 2015.

"(Ia) sebagai tanda menolak provokasi angkuh kerajaan minoriti Najib kepada rakyat dengan tangkapan, tahanan dan gangguan terhadap para pemimpin dan peserta perhimpunan aman pada 1hb Mei di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu," kata BERSIH dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat lalu, seramai 15,000 peserta himpunan anti-GST bergerak ke KLCC membantah pelaksanaan cukai itu.

Kemudiannya beberapa pemimpin Pakatan dan aktivis antaranya Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, aktivis Hishammuddin Rais, MP Batu Tian Chua dan Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga ditahan polis.

Mengulas lanjut, NGO itu turut menjelaskan ‘Ops Hitam 505’ juga sebagai solidariti terhadap tiga lagi tuntutan rakyat antara lain dakwaan penipuan dalam persempadanan kawasan pilihan raya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, ia sebagai desakan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menghentikan dakwaan penyalahgunaan kuasa polis.

 

"Kami berharap bahawa esok seluruh rakyat akan mewujudkan suatu lautan hitam di setiap perusuk negara, terutamanya di Permatang Pauh dan Rompin.

"Di mana rakyat berpeluang menyatakan pendirian dengan kertas undi, untuk menunjukkan penolakan rakyat terhadap GST, pilihanraya yang kotor dan negara polis," kata NGO itu.

Lihat Komen
ADS