'Tiada niat hina Katolik' - Ketua Umno Sepang sedia mohon maaf
Ketua Umno bahagian Sepang Noorazli Said berkata dia tidak berniat menghina mana-mana agama menerusi jenakanya yang mengaitkan paderi dan biarawati Kristian.
Bagaimanapun pemimpin Umno itu berkata dia bersedia memohon maaf sekiranya jenakanya itu menimbulkan salah faham.
"Kita ambil pengajaran atas cerita, bukan menghina sesiapa mahupun agama. Kalau tafsiran itu yang diguna pakai boleh menyebabkan salah faham, saya bersedia minta maaf,” kata Noorazli kepada Malaysiakini hari ini.
Kenyataan itu dibuat selepas pelbagai pihak sama ada dari dalam atau luar Umno menggesa Noorazli memohon maaf atas jenaka yang dilakukan ketika perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh hari ini menyifatkan jenaka yang dibuat Noorazli sebagai melampau kerana mempermainkan agama.
"Bayangkan jika orang lain guna lawak yang sama tetapi menggunakan analogi imam. Kita pun akan marah.
"Jadi tidak sepatutnya berlaku dan dia perlu mohon maaf," katanya kepada Malaysiakini.
/file/attachments/orphans/akmal_793074.jpg)
Jenaka separa lucah yang dibuat Noorazli itu mengundang kecaman pelbagai pihak, termasuk Persatuan Peguam Katolik Kuala Lumpur yang bercadang membuat laporan polis terhadapnya.
Dalam ucapannya, Noorazli tidak menghuraikan sumber jenaka berkenaan.
Ketika ditanya mengenai perkara itu hari ini, dia berkongsi pautan video animasi Youtube selama 55 saat bertajuk “The Priest, The Nun & Psalm 129 - A Hilarious Twist!” bersama emoji ketawa dan simbol salib.
“Sumber ini digunakan secara meluas di seluruh dunia. Ia bukan sesuatu yang baru. Saya hanya quote (petik),” katanya kepada Malaysiakini.
Noorazli membuat jenaka itu ketika menyampaikan ucapan bagi menegaskan pentingnya kebijaksanaan politik, selain memuji kepimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Ungkapan yang dipetik Noorazli itu sebenarnya tidak terdapat dalam kitab Bible ayat Mazmur 129 seperti yang diperkatakannya.
/file/attachments/orphans/asd2d_710123.jpg)
