Pertubuhan Mandiri dan Hayat menyerahkan memorandum kepada polis hari ini bagi menuntut penjelasan mengenai pembekuan beberapa akaun bank serta sekatan perjalanan yang didakwa dikenakan terhadap pemimpin NGO berkenaan.

Memorandum itu diserahkan kepada pegawai Unit Media Korporat Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia pagi tadi.

Pengarah Eksekutif Mandiri Amir Hariri Abd Hadi mendakwa tindakan berkenaan dikenakan tanpa sebarang pemakluman rasmi atau panggilan daripada pegawai penyiasat.

Menurut Amir (gambar bawah), akaun bank peribadinya dan Pengarah Kewangan Mandiri Dobby Chew, serta akaun rasmi Mandiri dan Hayat, telah dibekukan.

Dia berkata pembekuan itu dibuat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Bagaimanapun, Amir berkata mereka hanya mengetahuinya selepas mendapatkan penjelasan daripada pihak bank.

"Kami tidak diberikan sebarang pemakluman langsung daripada mana-mana pihak berkuasa, sama ada polis, SPRM, BNM atau pihak lain.

"Kami sendiri yang pergi ke bank untuk bertanya mengapa akaun kami disekat," katanya pada sidang media di hadapan Bukit Aman hari ini.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Amir disekat daripada ke luar negara kira-kira tiga minggu lalu manakala akaun banknya dibekukan minggu lalu.

Menurut laporan terdahulu, Dobby pula berdepan masalah ketika kembali dari Jakarta dan dimaklumkan mengenai sekatan dari Bukit Aman sebelum akhirnya dibenarkan memasuki Malaysia.

Amir berkata sehingga kini, tiada pegawai penyiasat menghubunginya berhubung tindakan berkenaan.

"Kami juga tidak ada apa-apa yang mahu disorokkan.

“Kami boleh tunjukkan audit akaun kami dan tidak ada satu sen pun yang kami curi.

"Kalau ada perkara yang kami terlepas pandang, mungkin kami tidak tahu. Siasatlah kami. Kami sentiasa terbuka," katanya.

Menurut Amir, pembekuan akaun itu menjejaskan operasi harian kedua-dua NGO, termasuk pembayaran gaji, pelaksanaan program dan penyaluran bantuan.

Dia berkata Mandiri menjalankan program pemerkasaan demokrasi dan bekerja dengan golongan muda, manakala Hayat membantu bekas banduan mendapatkan bantuan guaman, pekerjaan serta kembali kepada masyarakat.

"Kalau akaun kami disekat, kami sudah tidak mempunyai kemampuan untuk membantu mereka seperti sebelum ini," katanya.

Amir berkata Mandiri dan Hayat telah melantik peguam masing-masing bagi memulakan proses undang-undang untuk menyahbekukan akaun mereka.

Wakil kedua-dua NGO itu juga dijadualkan bertemu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Khamis ini bagi memfailkan aduan dan memohon campur tangan suruhanjaya berkenaan.

Sementara itu, Dobby yang juga ketua pegawai eksekutif Hayat berkata akaun kedua-dua organisasi sentiasa diaudit dan pihaknya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.

"Saya yakin 100 peratus jika ada siasatan oleh pegawai penyiasat dan mereka melihat akaun Mandiri atau Hayat, ia adalah bersih.

"Memang tidak akan ada satu sen pun yang hilang atau tidak direkodkan," katanya.

Dobby turut mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan mendakwa pentadbiran semasa mengulangi pendekatan kerajaan terdahulu terhadap NGO.

"Banyak rakan-rakan yang dah cakap, dulu kita bersama-sama dengan Pakatan Harapan di jalanan melawan rasuah.

"Namun apabila mereka menjadi pemimpin dan pemerintah negara hari ini, merekalah yang menggunakan semula strategi yang sama seperti Barisan Nasional, dan saya rasa ini amat mengecewakan," katanya.

Desak Anwar, Saifuddin

Dalam pada itu, Amir mendesak Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Anwar yang juga menteri kewanga, memberikan penjelasan mengenai tindakan berkenaan.

Dia berkata Anwar tidak boleh melepaskan tanggungjawab kerana keputusan pentadbiran perlu dilihat berdasarkan prinsip tanggungjawab bersama Kabinet.

"Saya juga mahu mendengar penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, untuk menjawab persoalan-persoalan kami.

"Termasuk juga Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Dia tidak boleh lepas tangan kerana dia adalah menteri kewangan dan sebahagian daripada kabinet.

"Dalam kabinet ada tanggungjawab bersama (collective responsibility)," katanya.

Pada masa sama, penganjur berkata 89 NGO melancarkan kempen #HentiBungkamNGO bagi menuntut ketelusan berhubung tindakan terhadap organisasi masyarakat sivil terbabit.

Bekas ahli parlimen Subang Wong Chen (gambar atas), Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan serta wakil KLSCAH Youth dan Women’s Aid Organisation turut hadir sidang media di hadapan Bukit Aman hari ini.

Malaysiakini sedang menghubungi pihak polis, Kementerian Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan maklum balas lanjut mengenai perkara ini.