Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun tidak bertanding di pilihan raya kecil (PRK) parlimen Permatang Pauh, namun Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar turut menjadi sasaran dalam ceramah PKR.

Malam tadi, ketika berucap Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali bertanya kepada hadirin sekiranya pegawai cawangan khas (SB) turut serta di ceramah itu.

Kemudian para hadirin menjawab "Ada!".

"SB ada di belakang? Kalau ada datang depan. Saya tak takut. Beritahu ketua polis negara, tolonglah, nak jadi ketua polis yang menjaga keselamatan rakyat atau nak jadi barua Umno dan BN?," kata Azmin disambut sorakan kira-kira 200 hadirin.

Selepas itu, Azmin kemudian sekali lagi mengajukan soalan dan meminta hadirin menjawab sama ada Khalid menjaga keselamatan negara atau Umno.

"Saya nak tanya orang Permatang Pauh, orang Permatang Pauh kena jawab malam ini. Ketua polis yang ada sekarang menjaga keselamatan negara atau keselamatan Umno dan BN?" soal Azmin.

"Umno!" laung hadirin dan kemudian Azmin mengucapkan: "Hebat. Tahniah."

Kemudian sekumpulan wanita yang hadir di ceramah itu ketawa dan menyebabkan Azmin bertanya sama ada mereka takut sekiranya ditangkap dengan pihak polis.

"Jangan takut kena tangkap. Biar penuh penjara itu, tak ada masalah. Kalau masuk (penjara) Sungai Buloh boleh jumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bila lagi nak jumpa," kata Azmin menyebabkan hadirin ketawa.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Azmin mengakui ucapannya pada malam tadi "berapi" memandangkan ia sudang memasuki hari ke-12 berkempen di Permatang Pauh.

Ketika ditanya sama ada kenyataannya dalam ceramah itu menghina penjawat awam dengan menggunakan perkataan "barua", Azmin menafikannya.

"Saya minta supaya Ketua Polis Negara menjalankan tugas menjaga keselamatan negara. Adakah itu salah?

"Saya tanya, tidak tuduh dia. Saya tanya pada beliau dan rakyat Permatang Pauh. Adakah tanya pun tak boleh dalam Malaysia ni? Saya tak tuduh dia, saya hanya tanya," katanya.

Justeru, Azmin berkata, beliau meminta supaya Khalid menjawab persoalannya malam tadi melalui tindakan dan bukan tweet.

"Itu satu pertanyaan bukan tuduhan. Dia kena jawab dan jawapan dia kena melalui tindakan bukan jawapan.

"(Melalui) tindakan bukan melalui tweet," kata Azmin lagi.

[Baca berita penuh/asal ]

Lihat Komen
ADS