Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyokong pendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya Datuk Seri Najib Razak terus berkhidmat sebagai sebagai perdana menteri dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan.

Bagaimanapun, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan, Najib sepatutnya membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum dijalankan dan perdana menteri itu mendapatkan mandat baru daripada rakyat.

"Saya bersetuju dengan kenyataan presiden supaya Najib tidak meletak jawatan.

"Meletakkan jawatan menampakkan beliau lari daripada tanggungjawab dia," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mohamad yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata, Najib perlu berdepan sendiri dengan rakyat bagi merungkai sebarang isu yang timbul dan bukannya menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada orang lain.

Beliau diminta mengulas kenyataan terdahulu Abdul Hadi ( gambar ) hari ini yang dilaporkan menggesa Najib terus berkhidmat sebagai perdana menteri memandangkan beliau dipilih melalui sistem pilihan raya.

Heret ke penjara

Sementara itu, dalam kenyataan selepas itu, Mohamad berkata bekas pemimpin negara yang bersalah harus diheret ke penjara.

"Rakyat Malaysia mesti bertindak seperti Korea Selatan - mampu mengheret bekas-bekas presiden ke penjara," katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga mempertikaikan kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis yang didakwa gagal menyelesaikan beberapa kes berprofil tinggi.

Ini, katanya, termasuk kematian Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbaini serta siasatan terhadap bekas ketua menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud.

"Kewibawaan institusi penyiasatan, SPRM mahupun polis berada pada tahap yang paling rendah,” katanya.

Lihat Komen
ADS