Presiden Amanah, Mohamad Sabu akan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri — namun bukan elaunnya yang berjumlah RM11,900 bagi membantu membiayai organisasi masyarakat sivil (CSO) supaya mereka dapat memperjuangkan mekanisme tahanan rumah yang adil dan memberi manfaat kepada semua banduan.

Secara khusus, dia mencadangkan agar banduan dibenarkan menjalani separuh daripada tempoh hukuman penjara di dalam penjara sebelum dipindahkan ke tahanan rumah. Dia berkata ini sepatutnya menjadi pilihan bagi banduan untuk semua jenis kesalahan.

Bekas perdana menteri Najib Razak selepas dibenarkan menjalani tahanan rumah mulai semalam

“Sebagai komitmen terhadap usaha itu, saya sedia menyerahkan keseluruhan gaji saya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen penggal ini bagi membantu membiayai usaha NGO yang menggerakkan perjuangan berkenaan.

“Keadilan mesti ditegakkan tanpa diskriminasi, tanpa keistimewaan terpilih dan tanpa layanan dua darjat,” katanya.

Semalam Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meletak jawatan sebagai menteri pengangkutan berikutan kepulangan Najib Razak ke rumah untuk menjalani tahanan rumah.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata tindakannya bukan dibuat atas dasar pertikaian peribadi.

Sebaliknya, dalam satu sidang media dalam kapasitinya sebagai anggota Parlimen Kota Raja hari ini, dia memberitahu hanya mahu memastikan semua banduan lain mendapat akses yang adil kepada keistimewaan sedemikian.

“Undang-undang mesti adil kepada semua. Keadilan tidak boleh menjadi hak eksklusif golongan tertentu.

“Malaysia tidak boleh mengamalkan sistem keadilan dua darjat,” kata Ahli Parlimen Kota Raja itu.

Tidak jelas mengapa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu memilih saluran masyarakat sivil berbanding memperjuangkannya di peringkat Kabinet, atau apakah maksud tindakan ini terhadap status undang-undang tahanan rumah yang sedang dirangka oleh Putrajaya ketika ini.

Disoal sama ada dia akan membawa cadangannya kepada kerajaan, Mohamad sekadar menjawab bahawa ini merupakan idea peribadi.

Najib Razak tiba di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, malam tadi

“Sebagai komitmen terhadap usaha itu, saya sedia menyerahkan keseluruhan gaji saya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen penggal ini bagi membantu membiayai usaha NGO yang menggerakkan perjuangan berkenaan,” katanya.

Namun, Mohamad tidak memperincikan bagaimana dia akan menyalurkan dana tersebut kepada CSO, tetapi memetik Bersih, Majlis Peguam, dan Persatuan Peguam Syarie sebagai antara pihak yang diharapkan menyambut seruannya.

Mengulas mengenai gajinya, dia berkata ia "tidak banyak", tetapi dia akan mengekalkan elaunnya bagi menjalankan tugas sebagai menteri dan anggota Parlimen.

Najib dibebaskan dari penjara selepas Umno membayar denda RM50 juta bagi kes rasuah SRC International yang dihadapinya.

Tahanan rumah bekas perdana menteri itu adalah sebahagian daripada pengampunan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kerajaan telah memberi petanda bahawa terma pemenjaraan Najib di rumah adalah berbeza daripada draf undang-undang tahanan rumah yang sedang dirangka ketika ini.

Terma tepat yang perlu dipatuhi Najib sepanjang berada di rumah kekal rahsia buat masa ini.