Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zam disiasat, tapi bela polis bukan barua
Diterbitkan:  May 12, 2015 4:18 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainudin Maidin mendedahkan bahawa beliau telah disiasat bawah Akta Hasutan 1948 berhubung tulisannya berkaitan kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zainuddin berkata beliau disiasat pada 18 Januari berhubung tulisan yang menyebut bahawa kelewatan keputusan kes kerana menunggu hasil " pertemuan golf " perdana menteri dan presiden Amerika Syarikat (AS).

Tulisan di Zamkata pada 6 Disember 2014 itu bertajuk "Hakim-hakim menunggu hasil rundingan kes liwat Anwar.  Akibat negara tidak di bawah pimpinan dynamic dan inspiring ".

Menulis dalam blognya hari ini, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu berkata beliau tidak mendedahkan siasatan itu sebelum ini kerana tidak mahu ia menjadi isu politik.

Beliau juga, tambah Zainuddin, tidak mahu menimbulkan anggapan  salah kepada polis walaupun mengesyaki seolah-olah ada dakwaan terpilih.

“Saya membuat keputusan untuk menulis semula setelah menerusi pengalaman ini saya dapat meyakinkan diri saya  bahawa Polis Diraja Malaysia  (PDRM) tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana  pihak untuk membuat siasatan dan dakwaan berasaskan sentimen dan prejudis politik atau  prasangka buruk mana-mana pihak sebaliknya benar benar berpegang kepada profesionalisme.

“PDRM bukan barua Umno,” katanya yang dilihat sebagai orang bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad.

Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Zam melalui tulisannya mencuri perhatian luas selepas membangkitkan itu berkaitan pentadbiran Najib, selari dengan serangan keras bertali arus Mahathir.

Zam pada 19 Januari mengumumkan di blog bahawa beliau memutuskan berhenti menulis isu politik semasa demi “kedamaian dan ketenteraman jiwa dari ugutan, tekanan dan pencemaran nama di hari tua”.

Tanpa mengupas lanjut, beliau turut menitipkan sebuah sajak menyokong Mahathir dan mengkritik amalan “dinasti”.

Lihat Komen
ADS