Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Komentar ini adalah berdasarkan kepada laporan dan cadangan balas yang diterbitkan oleh AWER ke atas maklumat di dalam RMK11 (dibaca bersama dengan Kertas-kertas Strategi oleh EPU), Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) dan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9).

Bekalan air luar bandar

Meningkatkan bekalan air terawat kepada masyarakat luar bandar adalah satu langkah ke arah yang betul. Melalui model Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA), ia dapat membuahkan hasil yang cepat.

Kami juga menggalakkan Kerajaan Persekutuan untuk melibatkan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah untuk menerima pakai model WSIA untuk meningkatkan pencapaian industri perkhidmatan air di kedua-dua negeri.

Model WSIA dapat dilaksanakan untuk perkhidmatan air berpusat dan pembangunan perkhidmatan air luar bandar. Walau bagaimanapun, penggunaan sistem penuaian air hujan (SPAH) tidak boleh diambil kira dalam bekalan air terawat kecuali air hujan yang dituai telah dirawat sebelum penggunaan.

Usaha menaiktaraf infrastruktur bekalan air luar bandar yang sedia ada juga perlu dimulakan untuk memastikan kesinambungan bekalan air terawat dapat dikekalkan.

Prinsip Pencemar Perlu Bayar

Satu ayat dalam RMK11 tidak dapat menjelaskan bagaimana fungsi mekanisme ini. Kami telah berulang kali menegaskan konsep pencemar perlu bayar bagi isu air dan terdapat seksyen dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling serta WSIA yang boleh meningkatkan kuasa pendakwaan terhadap pencemaran yang boleh diperluaskan kepada lain-lain jenis mekanisme pencemaran (udara dan tanah).

Jurang dalam mekanisme ini adalah pemulihan kerugian akibat penutupan loji rawatan, gangguan operasi sektor industri dan komersil serta kos perkhidmatan kecemasan kepada pengguna domestik.

Semua kos ini perlu diambil kira. Menyenarai hitamkan pencemar daripada menyertai proses tender kerajaan boleh dijadikan satu lagi penalti ekonomi yang boleh dilaksanakan.

Melindungi rizab kekal hutan semulajadi

Usaha yang lebih perlu digembleng di dalam isu ini kerana kawasan simpanan kekal juga memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan air. Peningkatan dalam populasi penduduk and aktiviti-aktiviti ekonomi akan meningkatkan permintaan bagi air terawat.

Kuasa ke atas sumber air masih di bawah kerajaan negeri dan perubahan guna tanah adalah punca utama kegagalan perlindungan hutan semula jadi. Terdapat keadaan di mana hutan semula jadi telah ditukar menjadi penanaman kelapa sawit di kawasan tadahan air.

Empangan Gemencheh, Negeri Sembilan adalah contoh klasik kegagalan melindungi kawasan tadahan air. Empangan ini kini gagal berfungsi disebabkan oleh perubahan guna tanah. Lebih daripada RM30 juta akan dibelanjakan untuk membina sistem pam untuk mengepam air mentah dari Sungai Jelai.

Sungai Jelai mempunyai air yang keruh dan ini pasti akan meningkatkan kos penyelenggaraan sistem pam dan meningkatkan kadar pemendapan di Empangan Gemencheh. Maka, selain kos pembinaan, kos elektrik, kos penyelenggaraan pam dan empangan akan meningkat.

Satu lagi contoh adalah sumber air mentah bagi projek Langat 2. Kawasan sekitar kawasan tadahan air sedang digondol dan ditukar kepada penanaman kelapa sawit. Penurunan kualiti air mentah akan meningkatkan kos penyelengaraan sistem pam dan terowong serta kos perawatan air.

Mengapakah pengguna-pengguna Lembah Klang perlu membayar 10 sen bagi setiap meter padu untuk mendapatkan air mentah yang lebih keruh? Keadaan yang lebih buruk adalah sumber air ini mempunyai risiko kegagalan sama seperti empangan Gemencheh.

Kebimbangan ini telahpun diutarakan kepada agensi yang berkenaan. Malangnya, tiada tindakan konkrit yang diambil kecuali teriakan untuk Langat 2 disiapkan dengan cepat. Dalam kes paling buruk, Langat 2 dan terowongnya mungkin akan menjadi projek gajah putih.

Siapa yang akan membayar kos infrastruktur terbabit untuk projek gajah putih sebegini? Lebih buruk lagi, Lembah Klang mungkin akan mengalami margin rizab negatif yang tidak boleh dipulihkan selama bertahun-tahun jika Langat 2 gagal berfungsi kerana ia sepatutnya menghasilkan 1130 Juta Liter sehari (JLH).

Tebatan banjir

Seperti yang dicadangkan oleh AWER, ia adalah berita baik untuk mendengar bahawa ramalan banjir akan ditambah baik. Ini juga akan digabung dengan pendekatan pengurusan banjir secara holistik.

Satu-satunya isu yang kami ingin membawa kepada perhatian semua pihak adalah status Jabatan Pengairan dan Saliran yang tidak mempunyai kuasa perundangan atau penguatkuasaan.

Ini boleh membawa kepada isu-isu guna tanah yang mungkin akan mengagalkan perancangan tebatan banjir. Kami berharap isu ini diberi perhatian yang serius.

Penetapan tarif dan pengebilan bersama

Akhirnya, cadangan kami untuk menggunakan hanya sumber kewangan daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan penghentian peruntukan kewangan terus oleh kerajaan persekutuan bagi industri perkhidmatan air telah diterima pakai.

Hanya melalui kaedah ini, model WSIA boleh berjaya dilaksanakan. Walau bagaimanapun, mekanisme penetapan tarif masih jauh ketinggalan berbanding dengan pelaksanaan sebenar. Mekanisme penetapan tarif ini merupakan salah satu komponen dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) yang tidak dicapai.

Kami telahpun memberikan maklumbalas mengenai kelewatan dalam pelaksanaan model WSIA dan penyelewengan model WSIA daripada pelaksanaan sebenar kepada kedua-dua Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pengurusan tertinggi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Pengebilan bersama juga merupakan pencapaian yang perlu dilaksanakan semasa RMK10. Terdapat kelewatan yang serius dalam pelaksanaan model WSIA dimana sasaran-sasaran untuk Rancangan Malaysia ke-9 juga belum dicapai.

Pengebilan bersama juga patut dilaksanakan serentak dengan penggabungan syarikat air (perawatan dan bekalan air) dengan perkhidmatan pembentungan (Indah Water Konsortium-IWK). Pulau Pinang, Lembah Klang (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor), Melaka dan Johor boleh melaksanakan langkah ini dahulu.

Bercakap mengenai pengebilan bersama dalam RMK11 tidak membawa sebarang makna dan impak yang ketara sekiranya IWK tidak distruktur semula terdahulu.

Pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW)

Selepas hampir lima tahun bertempur untuk mengutarakan masalah NRW di Malaysia, ia adalah satu kemenangan bagi AWER di mana semua cadangan kami untuk mengurangkan NRW telah diterima pakai di bawah RMK11.

Kami juga telah dimaklumkan bahawa Pelan Tindakan Pengurangan NRW yang dibangunkan oleh Pasukan Petugas Khas Pengurangan NRW Kebangsaan (yang pembentukan kedua-duanya telah dicadangkan oleh AWER) akan diguna pakai untuk menyelesaikan masalah NRW.

Walau bagaimanapun, kami masih tetapkan Indeks Prestasi Utama SPAN untuk NRW di tahap 20 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan sasaran SPAN sendiri (25 peratus).

Ini adalah kerana Bank Dunia menetapkan 15 peratus tahap NRW bagi negara maju dan 25 peratus tahap NRW bagi negara membangun. Kami juga akan terus  memantau kemajuan program NRW kerana Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Labuan masih belum menstruktur semula di bawah model WSIA.

Negeri-negeri ini sepatutnya menyempurnakan penstrukturan semula semasa Rancangan Malaysia Ke-9 yang berakhir pada tahun 2010. Sabah dan Sarawak tidak menyertai model WSIA.

Industri pembetungan

Kami gembira bahawa cadangan untuk membina loji rawatan pembetungan serantau dan berpusat diberi keutamaan di bawah RMK11 seperti yang dicadangkan oleh AWER. Hanya melalui kaedah ini, kemampanan dari segi ekonomi dan alam sekitar untuk sektor pembetungan dapat dicapai.

Ini digabung dengan mengguna pakai cadangan kami untuk menukar sisa kepada kekayaan (waste to wealth) dari sektor pembetungan yang akan meningkatkan daya maju ekonomi projek. Kami mengalu-alukan pembangunan Pelan Induk Pembetungan Negara oleh SPAN dan akan menyumbang untuk menambah baik pelan induk ini.

Pelan induk ini perlu dibangunkan dengan penglibatan semua pihak berkepentingan dan bukan sahaja entiti "ya bos" dan kumpulan-kumpulan vested interest sahaja.

Pelan induk pengurusan permintaan air

Pelan Induk Pengurusan Permintaan Air adalah tepat pada masanya kerana AWER telah berulang kali mengesyorkan pelaksanaan pengurusan permintaan air yang holistik. Walau bagaimanapun, pelan induk ini telah tertinggal penggunaan air utama (air mentah) dalam sektor industri dan pertanian.

Oleh itu, adalah lebih sesuai untuk menamakan semula pelan induk ini kepada Pelan Induk Pengurusan Permintaan Air Terawat. Semakan tarif sepatutnya membantu syarikat-syarikat air mendapat pulangan bagi perbelanjaan modal, perbelanjaan operasi serta keuntungan yang dikawal selia.

Maka, tarif tidak boleh digunakan sebagai kaedah langsung dalam pengurusan permintaan air. Ia adalah band tarif yang ditetapkan sebagai tarif denda (punitive tariff) yang akan menggalakkan kecekapan air.

Tarif ini digabung dengan bil pembetungan berdasarkan isipadu yang telah dicadangkan oleh AWER untuk menggalakkan kecekapan air secara holistik. Pelan induk perlu dibangunkan dengan penglibatan semua pihak berkepentingan dan bukan sahaja entiti "ya bos" dan kumpulan berkepentingan sahaja.

Fungsi jabatan bertindih

Ia adalah tepat pada masanya untuk dimasukkan dalam RMK11. Malah, AWER ingin mencadangkan keutamaan yang boleh dilaksanakan dalam tahun ini juga.

Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) mempunyai fungsi bertindih dengan PAAB, SPAN dan Indah Water Konsortium. Jabatan Bekalan Air (JBA) mempunyai fungsi bertindih dengan PAAB, SPAN dan operator air.

Sepatutnya tidak ada sebarang percubaan untuk mengurangkan fungsi PAAB, SPAN, Indah Water Konsortium atau operator air. Kedua-dua JBA dan JPP perlu ditutup dan kakitangannya boleh diserap oleh SPAN, PAAB, Indah Water Konsortium, operator air atau kekosongan jawatan kerajaan yang lain.

Jika ini dapat dilakukan, kerajaan akan menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan janji-janji dalam RMK11. Begitu juga, ia adalah diketahui oleh banyak pihak bahawa JPP sedang mencuba untuk membentuk Syarikat Pembetungan Negara (NaSCo) yang memainkan peranan yang sama seperti PAAB bagi industri pembetungan. Manipulasi dan penyelewengan dari model WSIA seperti ini mesti dihentikan.

Kesimpulan

AWER gembira kerana Kerajaan Persekutuan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) telah banyak menerima pakai cadangan-cadangan yang telah kami utarakan sejak beberapa tahun lalu dalam RMK11. Ini adalah langkah yang betul untuk menambah baik dasar-dasar nasional.

Seperti yang kami maklumkan dalam komen-komen tadi, banyak sektor perlu ditambah baik dan beberapa pelaksanaan adalah tidak diperlukan. Pengulangan projek dan rancangan dalam Bab 3 (bekalan air luar bandar), Bab 6 (pertumbuhan hijau) dan Bab 7 (komponen infrastruktur) bagi isu-isu berkaitan dengan perkhidmatan air dan tenaga adalah sangat ketara.

Rancangan seperti RMK11 harus mengelakkan pengulangan sebegini kerana ia menggambarkan kekeliruan dalam merangka pelan. Satu projek atau rancangan harus dikelompok di bawah kriteria yang ia akan dinilai dengan jelas.

Perancangan yang berkaitan dengan air (terutamanya perkhidmatan air) telah tertangguh sejak Rancangan Malaysia Ke-9. AWER akan terus memantau pelaksanaan pelan dan bajet berikutnya (2016-2020) untuk menentukan pelaksanaan sebenar pelan dan projek dalam RMK11.

Guna tanah yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri akan menjadi penghalang utama. Pengurusan risiko ini tidak pernah diketengahkan dalam semua isu berkaitan di dalam RMK11.

 


S PIARAPAKARAN presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Bahagian kedua tulisan ini akan disiarkan esok.

Lihat Komen
ADS